AI Sepatutnya Berkhidmat untuk Kemanusiaan, BUKAN Menggantikan atau Membahayakannya

Ketika syarikat berlumba-lumba untuk membangunkan dan melaksanakan sistem AI, terdapat  satu perlumbaan untuk menggantikan manusia: manusia digantikan sebagai pencipta, kaunselor, penjaga, dan teman; serta dalam kebanyakan pekerjaan dan peranan membuat keputusan yang memusatkan lebih banyak kuasa kepada institusi yang tidak tertakluk kepada akauntabiliti serta mesin-mesin mereka.

Perlumbaan untuk menggantikan ini menimbulkan risiko terhadap kestabilan masyarakat, keselamatan negara, kemakmuran ekonomi, kebebasan awam, privasi, dan tadbir urus demokratik. Ia juga mengancam pengalaman manusia yang berkaitan dengan zaman kanak-kanak dan keluarga, kepercayaan, serta komuniti.

Kecerdasan Buatan (AI) sepatutnya berkhidmat untuk kemanusiaan, bukan sebaliknya. AI dilatih menggunakan keseluruhan himpunan pengetahuan manusia. Ia seharusnya menjadi milik dan berkhidmat untuk kita semua, serta memupuk maruah, kebebasan, dan kesejahteraan segala kehidupan di Bumi.

Terdapat jalan yang lebih baik, di mana alat AI yang boleh dipercayai dan terkawal dapat mempertingkatkan bukannya mengurangkan potensi manusia, memperkasakan orang ramai, mengukuhkan keluarga dan komuniti, memelihara keupayaan menentukan nasib sendiri, serta membantu mewujudkan tahap kesihatan dan kemakmuran yang belum pernah dicapai sebelum ini.

Pendekatan ini menuntut agar pihak yang memegang kuasa teknologi bertanggungjawab terhadap nilai dan keperluan manusia, demi menyokong kesejahteraan dan kemajuan insan. Jika kita mahu teknologi menyokong masa depan yang sejahtera, kita perlu mempunyai gambaran yang jelas mengenai masa depan itu serta peranan yang kita mahu teknologi itu mainkan. Kita juga perlu mengambil langkah perlindungan terhadap perkara yang tidak kita ingini.

Apakah yang diperlukan untuk menghasilkan kecerdasan buatan (AI) yang benar-benar berkhidmat untuk kesejahteraan manusia? Satu tamparan hebat buat kerajaan kita apabila salah satu usaha paling serius untuk menjawab persoalan ini tidak datang daripada pihak kerajaan, sebaliknya daripada Paus menerusi ensiklik yang baharu diterbitkan, Magnifica Humanitas.

Di dalam dokumen itu, Paus mengupas secara mendalam mengenai kesan AI terhadap maruah manusia, kebenaran, pekerjaan, dan keamanan, serta menggesa agar diadakan pengawasan antarabangsa yang ketat, pengharaman senjata berasaskan AI, dan perlindungan bagi golongan pekerja.

Apa yang Diperlukan untuk Mencipta AI yang Memihak kepada Manusia

Bagi membangunkan AI yang menghormati maruah manusia, memajukan kesejahteraan dan perkembangan insan, serta menyokong kesejahteraan hidup manusia, beberapa langkah perlu diambil.

Pertama, kita memerlukan peraturan. Terdapat pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan mengenai sebab mengapa AI tidak boleh dikawal selia. Ada yang berhujah bahawa teknologi ini berkembang terlalu pantas untuk difahami sepenuhnya, atau kita akan kehilangan daya saing jika terikat dengan kerenah birokrasi yang rumit. Namun, ini bukanlah alasan yang kukuh untuk tidak mengadakan peraturan malah, sudah ada contoh atau duluan mengenai cara melaksanakannya.

Tidak ramai ahli politik yang memahami perincian pembangunan ubat-ubatan, namun tetap wujud rangka kerja kawal selia yang jelas bagi mana-mana syarikat yang ingin memasarkan ubat baharu. Mereka wajib membuktikan keselamatan ubat itu dan akan dipertanggungjawabkan sekiranya ia tidak selamat. Perkara yang sama perlu diguna pakai untuk produk AI, yang sebenarnya membawa risiko lebih besar pada skala kolektif berbanding ubat-ubatan baharu.

Kedua, kita sepatutnya mengutamakan penggunaan AI demi kesejahteraan awam. Kapasiti pengkomputeran adalah terhad dan permintaan melebihi penawaran; inilah sebabnya wujud perlumbaan sengit untuk membina pusat data di merata tempat. Terdapat risiko sebenar bahawa kapasiti pengkomputeran hanya akan diperoleh oleh pihak yang mampu membayar harga tertinggi. Namun, terdapat begitu banyak cabaran kolektif yang mana kejayaan besar dalam bidang AI mampu memberi manfaat kepada jutaan orang. Di sinilah kita seharusnya menumpukan sumber kapasiti pengkomputeran kita yang amat berharga itu.

Salah satu cara untuk melaksanakannya ialah dengan meletakkan aspek infrastruktur AI di bawah pemilikan awam. Bayangkan kapasiti pengkomputeran milik awam diperuntukkan bagi menangani isu-isu kepentingan umum yang diputuskan oleh satu perhimpunan rakyat. Bagaimana jika pembinaan pusat data hanya dibenarkan sekiranya terdapat peruntukan jelas bahawa sebahagian daripada hasil keluarannya akan digunakan untuk tujuan awam yang bermanfaat?

Ketiga, kita perlu menyusun semula ekonomi kita agar dapat menghadapi peralihan besar dalam sektor pekerjaan sepanjang 30 tahun akan datang. Pekerjaan tidak akan lenyap, tetapi sifatnya akan berubah. AI mungkin akan membawa perubahan kepada kerja berasaskan pengetahuan sebagaimana automasi mengubah sektor pembuatan. Tetapi bagi ekonomi maju yang banyak bergantung pada kerja berasaskan pengetahuan, keadaan ini menimbulkan masalah kerana pekerjaan merupakan asas kepada hasil cukai negara. Jika semakin kurang orang bekerja disebabkan oleh peningkatan tugas yang dilakukan oleh AI yang tidak membayar cukai, kita akan menyaksikan kelompangan besar dalam kewangan awam serta jurang ketidaksamaan yang semakin melebar dengan pantas. Kita memerlukan model percukaian yang inovatif untuk menampung kekurangan itu dan mengagihkan semula dana itu kepada golongan masyarakat yang memerlukannya. Kita boleh mengenakan cukai ke atas penggunaan pusat data bagi tujuan komersial, ke atas syarikat-syarikat yang mengendalikannya, atau mungkin kedua-duanya sekali.

Akhirnya, kita memerlukan Kill Switch. Teknologi itu semakin berkuasa dari bulan ke bulan, dan risiko semakin meningkat. Baru-baru ini, kedua-dua OpenAI, dan saingan terbesarnya, Anthropic, telah melaporkan ejen AI melepaskan diri daripada persekitaran ujian yang sepatutnya selamat dan menggodam syarikat dunia sebenar. Kita menghadapi prospek model yang terlalu berkuasa untuk diuji dengan selamat. Sistem AI tidak seharusnya terlepas daripada kawalan manusia yang muktamad. Sesungguhnya.

(Petikan yang disunting daripada “What People Actually Want From AI – And How We Get It” oleh Bert Wander [The Other Side of The End of the World, 17 Ogos 2026]; The Pro-Human AI Declaration)

Baca lebih lanjut:

“What People Actually Want From AI – And How We Get It” by Bert Wander

https://bertwander.substack.com/…/what-people-actually…

The Pro-Human AI Declaration

https://humanstatement.org/