Buah-buahan Segar ialah Gula-gula Semula Jadi

Buah-buahan segar kaya dengan vitamin, mineral, fitonutrien dan serat yang bermanfaat untuk kesihatan. Mengamalkan diet yang tinggi pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mengurangkan risiko anda menghidap penyakit jantung, kanser, keradangan, diabetes dan sebagainya.

Walaupun buah-buahan mengandungi sedikit gula, ia tetap merupakan pilihan yang sihat. Ini  kerana gula semula jadi dalam buah-buahan berbeza daripada gula tambahan yang terdapat dalam kebanyakan makanan diproses yang manis. Buah-buahan mengandungi fruktosa dan glukosa, namun disebabkan kandungan seratnya, ia dihadam dengan lebih perlahan, sekali gus menghasilkan tahap glukosa darah yang lebih stabil.

Malah, menurut satu kajian, pengambilan sekurang-kurangnya dua hidangan buah-buahan penuh (bukan jus) seminggu terutamanya beri biru, anggur dan epal dikaitkan dengan pengurangan risiko diabetes sebanyak 23%.

Buah-buahan segar umpama gula-gula semula jadi; ini bermakna anda dapat memuaskan keinginan terhadap makanan manis tanpa pengambilan gula tambahan, sambil meningkatkan tahap kesihatan anda.

PANDUAN: Pilih buah-buahan penuh berbanding jus. Proses pembuatan jus mengurangkan kandungan fitokimia yang bermanfaat serta serat pemakanan. Selain itu, jus buah diserap dengan lebih pantas ke dalam tubuh, sekali gus menyebabkan perubahan yang lebih ketara pada paras gula darah dan insulin berbanding pengambilan buah-buahan penuh. Satu kajian oleh Harvard mendapati bahawa pengambilan satu hidangan jus buah setiap hari dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap diabetes sebanyak 21%.