Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menghalang Presiden, Meenakshi Raman, daripada memasuki Miri, Sarawak pada hari ini, 29 September 2026. Meena tiba di Lapangan Terbang Miri dengan penerbangan jam 2.40 petang yang mendarat pada kira-kira jam 4.50 petang, namun beliau telah ditahan dan tidak dibenarkan masuk oleh pihak Imigresen Sarawak.
Di kaunter imigresen, kad pengenalan Meena diambil dan beliau ditanya sama ada beliau terlibat dalam sebarang kes. Kira-kira 15 minit kemudian, pegawai imigresen memaklumkan kepadanya bahawa satu laporan telah dibuat terhadap beliau pada 21 Mei 2025. Beliau kemudian ditanya sama ada beliau pernah menerima sebarang surat daripada pihak berkuasa Sarawak. Meena tidak pernah menerima sebarang surat, notis, penjelasan, atau petunjuk awal yang menyatakan bahawa beliau dilarang memasuki Sarawak. Sekiranya beliau dimaklumkan mengenai sekatan sedemikian, beliau tidak akan menaiki penerbangan itu.
Ini merupakan satu tindakan penggunaan kuasa negeri yang tidak boleh diterima dan amat membimbangkan. Sebagai warganegara Malaysia dan Presiden bagi salah sebuah pertubuhan alam sekitar tertua di negara ini, Meena dinafikan kemasukan tanpa dimaklumkan mengenai sebab keputusan itu dibuat atau diberi peluang untuk memberi penjelasan; keadaan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai keadilan prosedur. Perkara ini amat membimbangkan memandangkan Meena pernah dibenarkan memasuki Sarawak pada tahun 2024.
SAM telah beroperasi di Sarawak selama beberapa dekad dan mengekalkan pejabat di Marudi. Usahanya berteraskan sokongan terhadap komuniti akar umbi khususnya masyarakat orang asal, petani, dan nelayan dalam mempertahankan wilayah, mata pencarian, serta alam sekitar mereka daripada pembangunan yang merosakkan. Pejabat SAM di Marudi bertanggungjawab mengendalikan usaha organisasi itu berkaitan isu-isu komuniti orang asal di Sarawak.
Setiap warganegara mempunyai hak kebebasan bergerak. Walaupun Sarawak mempunyai kuasa berhubung kemasukan individu dari bahagian lain di Malaysia, kuasa itu bukanlah lesen untuk melakukan sekatan sewenang-wenangnya.
Justeru, SAM menuntut agar Kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa imigresen yang berkaitan segera:
● Menyatakan asas perundangan yang tepat bagi tindakan melarang Meena daripada memasuki Sarawak;
● Mendedahkan sifat, punca, dan asas bagi larangan itu;
● Menjelaskan mengapa beliau tidak dimaklumkan lebih awal mengenai larangan ini; dan
● Segera membatalkan sebarang sekatan yang dikenakan terhadap beliau.
Kerajaan Persekutuan tidak boleh berdiam diri. Tindakan sewenang-wenangnya menghalang pembela alam sekitar dan hak asasi manusia daripada memasuki sebahagian wilayah negara mereka sendiri menjejaskan akauntabiliti demokratik, ruang sivik serta hak orang ramai untuk bersuara mengenai kemusnahan alam sekitar dan hak komuniti yang terjejas. Aktivis mestilah dapat menjalankan tugas demi kepentingan awam yang sah tanpa sebarang bentuk intimidasi dan gangguan.
Mageswari Sangaralingam
Setiausaha Kehormat
Bagi pihak
Jawatankuasa Pusat SAM
Siaran Akhbar, 29 September 2026


