Program Kesedaran Asbestos di Kampung Mata Ayer, Perlis

Sesi perbincangan panel mengenai asbestos, menampilkan Mageswari Sangaralingam dan Hatijah Hashim sebagai ahli panel, serta Kumuthasshri Ponniah sebagai moderator.

Pada 10 Oktober 2026, dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, YB Puan Wan Badariah binti Wan Saad, Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menganjurkan program kesedaran mengenai risiko asbestos di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Kampung Mata Ayer, Perlis. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat luar bandar serta mendidik mereka tentang risiko pendedahan kepada asbestos.

Seramai 36 peserta menghadiri program itu yang terdiri daripada 22 lelaki dan 14 wanita, termasuk lima pegawai CAP. Antara peserta yang hadir ialah empat orang belia, seorang orang kurang upaya (OKU), seorang bekas anggota tentera, serta beberapa pesara dan suri rumah, yang mencerminkan kepelbagaian komuniti setempat.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Zulkifli Yusuf, Pegawai Lapangan CAP, yang menyampaikan taklimat pengenalan mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan persekitaran. Beliau menekankan aspek-aspek utama kesejahteraan komuniti, termasuk amalan pemakanan sihat, kesihatan awam, keselamatan makanan, serta keperluan terhadap persekitaran yang selamat dan bersih.

Menyusul selepas ucapan pembukaan, satu sesi perbincangan panel telah diadakan yang menampilkan Mageswari Sangaralingam, Ketua Eksekutif CAP, dan Hatijah Hashim, Pegawai Penyelidik CAP, sebagai ahli panel, manakala Kumuthasshri Ponniah, juga Pegawai Penyelidik CAP, bertindak sebagai moderator. Sebelum perbincangan panel bermula, risalah CAP bertajuk ‘Asbestos Mengancam Nyawa, Haramkan Krisotil Sekarang’ diedarkan kepada para peserta oleh Mohd Ridzuan Mohamad, Pegawai Penerbitan CAP.

Penduduk luar bandar dari Kampung Mata Ayer, Perlis, menyertai program peningkatan kesedaran mengenai asbestos.

Mageswari memulakan sesi dengan mengetengahkan beberapa isu alam sekitar dan kesihatan awam yang telah diperjuangkan oleh CAP sejak beberapa tahun lalu. Beliau memberikan penjelasan ringkas mengenai organisma ubah suai genetik (GMO), khususnya kajian lapangan bagi padi GM MR219, serta potensi implikasinya terhadap sistem pertanian. Seterusnya, beliau menyentuh kebimbangan mengenai racun perosak yang sangat berbahaya serta bahan per- dan polyfluoroalkyl (PFAS), khususnya berkaitan penggunaan dan kewujudannya yang berterusan di Malaysia, walaupun terdapat usaha antarabangsa yang semakin meningkat untuk menyekat penggunaannya.

Perbincangan kemudiannya beralih kepada asbestos, di mana Mageswari memberikan gambaran menyeluruh mengenai kewujudan bahan itu di dalam produk dan bahan binaan yang biasa digunakan, seperti genting bumbung, bahan penebat elektrik, paip simen asbestos, malah tercemar dalam mainan kanak-kanak. Beliau turut menekankan bahawa bumbung asbestos masih terdapat pada beberapa bangunan lama di Kampung Mata Ayer termasuk klinik tempatan, prasekolah, dan rumah-rumah penduduk seperti yang diperhatikan semasa lawatan lapangan CAP.

Beliau menjelaskan bahawa asbestos pernah digunakan secara meluas pada masa dahulu disebabkan oleh ketahanannya, keupayaannya menahan haba dan kakisan, serta kosnya yang agak rendah. Walau bagaimanapun, ciri-ciri yang menjadikannya bahan pilihan pada masa lalu kini mendatangkan risiko kesihatan yang serius, terutamanya bagi komuniti yang tinggal berhampiran dengan struktur bangunan lama yang masih mengandungi bahan asbestos.

Seterusnya, Hatijah mengupas isu mengenai kesan kesihatan akibat pendedahan kepada asbestos. Serat asbestos adalah sangat halus sehingga boleh disedut masuk ke dalam tubuh dan menyebabkan kerosakan kesihatan yang tidak dapat dipulihkan, seperti kanser paru-paru khususnya mesotelioma, sejenis kanser paru-paru yang jarang berlaku namun mengancam nyawa dan berkembang dalam tempoh masa yang panjang. Beliau turut menjelaskan bagaimana barangan kegunaan harian, seperti bedak talkum dan produk kosmetik, boleh mengandungi asbestos akibat pencemaran silang semasa proses pengeluaran.

Zulkifli Yusuf memberikan taklimat mengenai beberapa aspek kesejahteraan komuniti, termasuk amalan pemakanan sihat, kesihatan manusia dan keselamatan makanan

Hatijah juga turut memberikan penerangan ringkas mengenai bagaimana cara mengenal pasti bumbung yang mengandungi asbestos serta menekankan kesan pendedahan asbestos terhadap alam sekitar secara lebih meluas. Beliau menyatakan bahawa serat asbestos boleh memasuki persekitaran melalui pelbagai laluan pendedahan, sekali gus mencemarkan tanah, air, dan udara, dengan itu keadaan ini bukan sahaja mendatangkan risiko kepada kesihatan manusia malah turut mengancam ekosistem dan kesejahteraan kehidupan haiwan.

Mageswari kemudiannya berkongsi kisah sebenar pekerja dan keluarga mereka yang terjejas akibat penyakit berkaitan asbestos, sekali gus menonjolkan kesan buruk pendedahan asbestos terhadap manusia. Beliau turut menarik perhatian kepada operasi sebuah kilang bahan yang mengandungi asbestos di Tasek, Ipoh. Hatijah menambah bahawa kita perlu sentiasa berhati-hati semasa mengendalikan produk yang mengandungi asbestos, termasuk di rumah, serta berkongsi panduan praktikal mengenai kaedah pengendalian yang selamat. Beliau turut  menekankan kepentingan sikap waspada demi melindungi kesihatan individu, keluarga, dan masyarakat.

Sebelum mengakhiri sesi itu, Mageswari menyentuh beberapa cabaran utama dalam usaha menghapuskan penggunaan asbestos secara berperingkat. Ini termasuklah tekanan daripada negara-negara pengeluar utama asbestos, kewujudan berterusan produk berkaitan asbestos melalui platform jualan dalam talian yang kurang dipantau, serta penggunaan meluas bahan mengandungi asbestos di seluruh Malaysia akibat kurangnya kesedaran orang ramai. Beliau menegaskan bahawa cabaran ini merumitkan lagi usaha untuk menghapuskan pendedahan asbestos dan memperkukuh perlindungan pengguna. Walaupun berdepan dengan halangan ini, beliau menegaskan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti CAP dan kesatuan sekerja kekal komited untuk memperjuangkan usaha dari pihak kerajaan yang lebih tegas, peraturan yang lebih ketat, serta langkah-langkah menyeluruh bagi menghapuskan asbestos secara berperingkat di Malaysia.

Susulan perbincangan panel itu, satu sesi soal jawab telah diadakan. Antara persoalan yang dibangkitkan ialah kebimbangan mengenai kehadiran asbestos dalam bahan bumbung rumah serta permintaan untuk mendapatkan panduan mengenai kaedah selamat bagi menanggalkan dan melupuskan bahan yang mengandungi asbestos. Para peserta juga bertanyakan mengenai ketersediaan rawatan bagi mesotelioma, sejenis kanser yang dikaitkan dengan pendedahan asbestos. Pertanyaan lain tertumpu kepada komposisi semula jadi asbestos dan sama ada gentiannya mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan habuk simen biasa. Pada akhir program, CAP mengedarkan naskhah Utusan Pengguna yang memuatkan artikel mengenai gaya hidup sihat.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya meningkatkan kesedaran mengenai asbestos dalam kalangan masyarakat luar bandar Kampung Mata Ayer, Perlis. Penyertaan aktif serta soalan yang dikemukakan oleh para peserta menunjukkan minat mereka untuk memahami bahaya berkaitan asbestos dan langkah-langkah pencegahannya. CAP berharap kesedaran mengenai asbestos ini tidak terhenti di dewan itu sahaja, malah turut tersebar luas dalam kalangan pengguna lain di kawasan luar bandar.