Dunia semakin panas, tetapi bandar kita menjadi panas dengan lebih pantas. Dilapisi dengan permukaan asfalt dan dipenuhi konkrit, pusat bandar membebaskan haba, mengubah bandar menjadi “pulau haba” yang sangat panas dengan suhu boleh mencecah sehingga 10°C lebih panas berbanding kawasan luar bandar di sekelilingnya.
Memandangkan perubahan iklim semakin meruncing, gelombang haba yang lebih kerap dan ekstrem menyebabkan permintaan terhadap sistem penyejukan melonjak malah dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2050. Jika keperluan penyejukan ini dipenuhi melalui penggunaan penyaman udara konvensional, pelepasan gas rumah hijau yang berkaitan dengan penyejukan akan meningkat hampir dua kali ganda.
“Semasa gelombang haba, penyaman udara boleh menyelamatkan nyawa tetapi ia menggunakan jumlah tenaga yang sangat banyak, dan pelepasan yang dihasilkannya menjadikan dunia lebih panas,” kata Honpeng Lei, Ketua cawangan Mitigasi Iklim di Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP). “Selain itu, ia juga tidak mampu dimiliki oleh berbilion-bilion orang, menyebabkan mereka terdedah kepada risiko pada hari-hari yang panas sehingga ke tahap berbahaya.”
Namun, terdapat alternatif lain: teknik penyejukan pasif dan jimat tenaga mampu mengekalkan keselesaan di dalam bilik walaupun ketika suhu mencapai tahap tertinggi. Jika digabungkan secara strategik, kaedah ini boleh menurunkan suhu bangunan sebanyak 6-9°C, mengurangkan atau menghapuskan keperluan terhadap penyaman udara walaupun kombinasi yang paling berkesan mungkin berbeza mengikut iklim di pelbagai lokasi di seluruh dunia.
Berikut adalah 5 cara untuk mengekalkan keselesaan di dalam bangunan tanpa perlu meningkatkan penggunaan penyaman udara.
1. Bumbung dan dinding yang menyejukkan
Warna dan bahan binaan sesebuah bangunan boleh memberi kesan besar terhadap keselesaan ruang dalaman. Bumbung yang mempunyai kadar pantulan tinggi dilapisi dengan salutan berwarna cerah atau cat khusus, yang dikenali sebagai “bumbung penyejuk” berfungsi memantulkan haba jauh daripada bangunan, sekali gus menurunkan suhu permukaan sehingga 20°C.
Satu projek di Delhi, India, yang disokong oleh UNEP, melibatkan penggunaan cat pemantul haba pada bumbung salah sebuah terminal bas paling sibuk di India. Hasilnya, suhu bangunan itu berjaya diturunkan sebanyak 2-3°C.
Apabila digunakan di dalam dinding dan sekatan yang lebih tebal, jenis konkrit dan bata tanah tertentu mampu menstabilkan suhu dalaman dengan menyerap dan membebaskan haba secara perlahan, sekali gus menyediakan penebat yang penting.
Memastikan bangunan kedap udara dapat menghalang haba dari luar daripada meresap masuk. Selain itu, mengurangkan nisbah tingkap kepada dinding daripada 40 peratus kepada 20 peratus mampu mengurangkan keperluan penyejukan bagi bangunan komersial sehingga 12%.
2. Teduhan luaran
Unjuran bumbung yang panjang, penutup tingkap, dan sengkuap dapat menghalang sinaran matahari daripada memanaskan tingkap dan dinding secara langsung. Sirip mendatar pada muka bangunan juga sangat berkesan untuk menghalang cahaya matahari tengah hari; satu kajian kes mendapati bahawa apabila digabungkan dengan unjuran bumbung, sirip-sirip ini mampu mengurangkan permintaan untuk penyejukan sebanyak lebih daripada 15% setahun.
Teduhan semula jadi juga memainkan peranan penting. Pokok-pokok rendang yang ditanam berhampiran tingkap dan dinding memberikan manfaat berganda: menyejukkan persekitaran setempat di samping melindungi bangunan berdekatan daripada pancaran terus cahaya matahari.
3. Pengudaraan semula jadi
Walaupun dengan penebat dan teduhan yang terbaik, bangunan tetap akan menjadi panas pada hari yang panas terik. Bangunan dengan pengudaraan yang baik membolehkan haba disingkirkan secara pasif, sekali gus mampu mengurangkan penggunaan penyaman udara sehingga 55%.
Pengudaraan silang, bumbung yang mempunyai sistem pengudaraan, tingkap yang dibuka, serta ciri-ciri lain yang direka untuk menggalakkan aliran udara membolehkan haba berlebihan keluar daripada bangunan. Ini membantu dalam semua zon iklim; namun, ia amat berkesan dalam iklim panas dan kering, di mana suhu pada waktu malam menurun dengan ketara dan pengudaraan terbukti mampu memanjangkan tempoh keselesaan terma sehingga hampir satu perempat.
4. Memperluas ruang hijau dan biru
Kesan pulau haba diburukkan lagi oleh permukaan serta dinding di sesebuah bandar; menggantikan turapan dengan kawasan hijau atau elemen air mampu mengurangkan suhu persekitaran di seluruh kawasan kejiranan secara ketara.
Pokok, taman, halaman yang rimbun dengan tumbuhan, serta kolam merupakan pendekatan yang mampu milik dan boleh diperluas untuk menangani haba ekstrem, dengan menurunkan suhu melalui proses yang dikenali sebagai penyejatpeluhan. Begitu juga dengan bumbung dan dinding hijau, yang dapat mengurangkan suhu permukaan bangunan di samping melindunginya daripada bahang matahari.
Contoh inisiatif penghijauan bandar yang mengambil kira faktor haba dapat dilihat di Singapura, di mana taman-taman di bandar itu menjimatkan kos tenaga sebanyak kira-kira US$36.8 juta setiap tahun. Satu lagi contoh ialah Melbourne, Australia di mana penghijauan bandar di sebuah kawasan pinggir bandar yang baharu dinilai bernilai hampir US$5 juta, hasil daripada penjimatan elektrik, pengurangan kadar kematian, serta peningkatan produktiviti.
5. Penyejukan mekanikal jimat tenaga
Apabila sistem penyejukan pasif memerlukan bantuan mekanikal, pertimbangkanlah penggunaan kipas. Peralatan seperti kipas dan penyejuk penyejatan menggunakan tenaga yang jauh lebih sedikit berbanding penyaman udara, sekali gus memberikan keselesaan dengan kos kewangan dan impak alam sekitar yang jauh lebih rendah.
Kipas tidak menyejukkan udara tetapi pergerakan udara yang dihasilkan memanfaatkan keupayaan semula jadi tubuh untuk menyejukkan diri, terutamanya amat penting dalam iklim panas dan lembap, di mana peluh tidak mudah tersejat.
Kesan yang dihasilkan boleh menjadi sangat ketara, iaitu mampu menurunkan suhu dalaman yang dirasai sehingga 4°C yang sering kali mencukupi untuk mengurangkan atau malah meniadakan terus keperluan penggunaan penyaman udara.
Penyejuk penyejatan memanfaatkan kuasa penyejukan melalui penyejatan dengan lebih optimum; ia menggunakan kipas untuk menukarkan air kepada wap; semasa menyejat, air menyerap haba daripada udara, sekali gus menyejukkan ruang dalaman dengan penggunaan tenaga 80-90% lebih rendah berbanding unit penyaman udara. Dalam keadaan cuaca yang panas dan kering, penyejuk penyejatan mampu menurunkan suhu sehingga 15°C.
Dengan menggabungkan kipas berkecekapan tinggi dengan kaedah penyejukan pasif, Program Sekolah Hijau di negeri Tamil Nadu, India yang disokong oleh UNEP berjaya menurunkan suhu dalaman sebanyak kira-kira 3°C di 300 buah sekolah. UNEP juga sedang melaksanakan projek serupa di Brazil dan Filipina.
“Dalam sesetengah keadaan, penyelesaian ini mungkin tidak mencukupi, dan penggunaan penyaman udara sememangnya cara terbaik untuk menjamin keselamatan orang ramai,” ujar Lei daripada UNEP. “Namun, penyelesaian penyejukan pasif dan jimat tenaga seperti ini menawarkan laluan ke arah sistem penyejukan yang lebih pintar, lebih mampan, dan lebih mampu milik.
“Ia bukan sahaja mengurangkan pelepasan, malah turut membina daya tahan iklim global, sekali gus mempersiapkan bandar-bandar kita untuk menghadapi masa depan yang lebih panas.”
Sumber: UNEP (6 Oktober 2026)
Artikel asal di sini:


