Sisi Gelap Perdagangan Haiwan Peliharaan Eksotik

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar perdagangan haiwan peliharaan eksotik dipantau dengan lebih ketat, memandangkan perniagaan ini sering digambarkan sebagai sesuatu yang tidak berbahaya, di mana haiwan-haiwan luar biasa dibeli semata-mata kerana ia dianggap cantik, menarik, atau berbeza daripada haiwan peliharaan biasa. Namun, di sebalik daya tarikan ini, wujud satu industri yang menyebabkan penderitaan teruk kepada haiwan-haiwan itu, menyumbang kepada kepupusan populasi hidupan liar, serta menimbulkan risiko ekologi. Apabila spesies bukan tempatan dilepaskan atau terlepas, ia boleh mendatangkan kemusnahan kepada persekitaran tempatan, mengancam kepelbagaian biologi, dan mengganggu ekosistem yang rapuh.

Pemilik haiwan peliharaan eksotik mungkin tidak sedar atau sengaja tidak mahu tahu tentang industri bernilai berbilion dolar ini iaitu sebuah industri yang didorong oleh permintaan yang mengakibatkan penderitaan dahsyat terhadap haiwan serta kemusnahan ekologi. Malah, aktiviti pemburuan haram yang tidak lestari demi mendapatkan haiwan yang jarang ditemui dan eksotik telah memusnahkan populasi hidupan liar dan menjejaskan ekosistem yang sensitif. Selain itu, satu perkara yang sering terlepas pandang ialah rantaian bekalan yang terkenal dengan kekejamannya; sebelum sempat sampai ke tangan pembeli, sebahagian besar haiwan yang ditangkap telah mati akibat tekanan, trauma, lemas, malah penyakit.

Haiwan yang terlibat dalam perdagangan haiwan peliharaan eksotik merangkumi pelbagai jenis, daripada reptilia dan burung sehinggalah kepada primat, mamalia, amfibia, ikan, dan spesies hidupan liar yang lain. Haiwan-haiwan ini sering mempunyai keperluan khusus yang tidak mungkin dapat dipenuhi dalam persekitaran rumah.

Akibatnya, ramai yang mengalami kesakitan dan kematian awal akibat kekurangan zat makanan, pengasingan, kesunyian, suhu dan kelembapan yang tidak sesuai, serta tekanan yang melampau akibat terkurung dalam persekitaran yang tidak semula jadi. Kekurangan tingkah laku semula jadi seperti memanjat, hinggap, dan mencari makan akan memburukkan lagi tekanan terhadap haiwan ini, yang membawa kepada penyakit, tekanan kronik, dan perkembangan tingkah laku stereotaip apabila keperluan haiwan ini tidak dipenuhi dengan secukupnya.

Walaupun undang-undang memainkan peranan penting dalam mengawal selia perdagangan haiwan peliharaan eksotik, ia masih tidak mencukupi untuk menangani skop penuh masalah yang berkaitan dengan penyimpanan, penjualan, dan pengimportan spesies eksotik. Langkah-langkah perundangan sahaja tidak dapat menyelesaikan cabaran kebajikan, ekologi, dan penguatkuasaan yang kompleks yang wujud dalam perdagangan ini.

Menurut Sistem Maklumat Biodiversiti Malaysia (MyBIS) yang menghuraikan laporan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Spesies Asing Invasif 2021-2025, sesetengah spesies eksotik diimport kerana popularitinya dalam kalangan peminat dan oleh itu mudah didapati di kedai haiwan peliharaan dan melalui platform dalam talian.

Pemilik haiwan peliharaan eksotik sepatutnya mempertimbangkan dengan serius sama ada mereka mampu memberikan penjagaan sepanjang hayat. Satu kebimbangan utama berkaitan haiwan peliharaan eksotik ini ialah kemungkinan ia dilepaskan apabila haiwan itu menjadi terlalu besar, agresif, mahal untuk dipelihara, atau menimbulkan masalah.

Melepaskan haiwan peliharaan eksotik ke alam liar bukanlah satu pilihan yang wajar, memandangkan haiwan yang terbiasa hidup dalam kurungan sering kali tidak mempunyai keupayaan untuk terus hidup akibat ketiadaan sumber makanan dan tempat perlindungan. Sekiranya ia berjaya bertahan, terdapat risiko ia menjadi spesies asing invasif, yang mengancam biodiversiti asli serta mengganggu ekosistem yang rapuh.

Malah, kura-kura atau ikan yang dibeli untuk tujuan pembersihan akuarium atau sekadar sebagai penyeri akuarium mungkin kelihatan tidak berbahaya; namun, apabila dilepaskan ke persekitaran yang tidak mempunyai pemangsa semula jadinya, ia boleh berubah menjadi spesies asing invasif. Inilah yang berlaku dengan spesies ikan hiasan invasif di negara kita, yang telah menyebabkan kepupusan ikan tempatan. Spesies ikan pemangsa seperti peacock bass, keli Afrika, baung ekor merah, ikan bandaraya, dan lain-lain telah menceroboh perairan kita serta mengakibatkan kerosakan alam sekitar. Apabila populasi spesies invasif telah bertapak, usaha untuk membasminya boleh menjadi sangat sukar dan menelan belanja yang besar.

Walaupun negara-negara di seluruh dunia bergelut menentang spesies invasif yang agresif, Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan Jabatan Perikanan didapati kurang bersedia menghadapi persaingan sengit daripada spesies invasif yang memasuki negara kita.

Hakikatnya, memelihara hidupan liar eksotik tidak seharusnya dianggap sekadar memiliki haiwan peliharaan yang unik. Ia membawa tanggungjawab yang besar dari segi perundangan, etika, dan alam sekitar.

Keseriusan situasi ini menuntut penyelesaian yang menyeluruh. Terdapat keperluan mendesak untuk meyakinkan pengguna agar mengawal keinginan mereka terhadap spesies haiwan eksotik dan terancam. Perlindungan terhadap haiwan secara individu mahupun ekosistem Malaysia memerlukan tingkah laku pengguna yang bertanggungjawab, peruntukan undang-undang yang mewajibkan semua spesies eksotik asing dilengkapi dengan pengenalan diri (ID), penguatkuasaan yang berkesan, kawalan perdagangan yang ketat, dan yang paling penting, kesedaran bahawa haiwan eksotik bukanlah komoditi semata-mata kerana ia boleh dibeli dan dijual.

Komitmen politik yang kukuh adalah penting untuk mencegah dan mengurus spesies asing invasif, manakala pelan tindakan yang digariskan dalam laporan kebangsaan mestilah dilaksanakan sepenuhnya bagi melindungi kepelbagaian biologi daripada pencerobohan biologi. Akhir sekali, kedai haiwan peliharaan dan kemudahan yang berkaitan dengan haiwan mesti dilarang daripada mengimport spesies hidupan liar eksotik.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 10 November 2026