500 Pendudak Jeniang diancam Banjir Kilat: CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan negeri Kedah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat  yang di hadapi oleh lebih 500 penduduk di daerah Kuala Muda dekat Jeniang di sini.

Masalah yang melibatkan Kampung Batu 8, 9 dan 10 itu telah berlaku sejak 2014 namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh mana-mana pihak bagi mengatasinya.

Tinjauan CAP mendapati keadaan Sungai Perahu yang cetek,sempit dan dipenuhi semak samun menjadi punca masalah ini berlaku. Ketika hujan pengaliran air sungai tersebut tersekat dan melimpah ke kediaman penduduk di sini.

Selain sungai ini tidak diselenggara dengan baik, sistem perparitan yang dibina di kampung itu juga telah pecah dan ditumbuhi rumput tebal.

CAP kesal walau pun masalah ancaman banjir tersebut telah beberapa kali diadukan kepada pihak berwajib oleh penduduk-penduduk yang terlibat namun ia masih berlarutan hingga kini. Akibat kejadian itu kerugian besar telah dialami mereka kerana kerosakan harta benda dan tanaman yang berlaku.

Kalangan ibu bapa turut merasa bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka terutama yang tinggal berhampiran sungai kerana setiap kali hujan lebat arus deras melanda kampung berkenaan.

CAP percaya jika punca masalah ini dibiarkan ancaman banjir kilat di kawasan itu akan menjadi lebih serius lagi pada masa akan datang. Justeru CAP berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi menanganinya.

Kerja-kerja mendalamkan sungai dan membersihkan tempat-tempat yang menghalang pengaliran air perlu dilakukan segera. Manakala sistem perparitan yang tidak berfungsi wajar dipulihkan dan dibaiki oleh pihak berkenaan.

CAP meminta kerajaan Kedah membuat bancian jumlah kerosakan harta benda dan kerugian yang di alami oleh penduduk-penduduk di sini serta menyalurkan bantuan kepada mereka bagi meringankan beban kehidupan yang terpaksa ditanggung selama ini.

 

Kenyataan Media, 11 Disember 2018