Ramai pengguna telah menghubungi CAP dan menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kaedah ujian air liur dan swab hidung untuk mengesan Covid-19 dengan menggunakan kit ujian kendiri memberikan keputusan yang bercanggah antara keduanya. Menurut mereka, swab hidung menunjukkan mereka positif Covid sementara ujian air liur menunjukkan keadaan sebaliknya (iaitu negatif covid).
Mereka melakukan sendiri ujian itu berikutan ahli keluarga mereka positif Covid-19 dengan bergejala sementara yang lain melakukannya kerana mereka juga mempunyai gejalanya. Namun dalam kedua-dua kes, hasil ujian menunjukkan negatif palsu dalam ujian air liur.
Apa yang dibimbangkan, jika kit ujian kendiri kurang sensitif dengan memberikan hasil negatif yang palsu, orang mungkin beranggapan gejala yang dialami tiada kaitan dengan Covid lalu mungkin tidak menjalani kuarantin diri, dengan itu menyebarkan virus tersebut dalam komuniti. Satu hal lagi yang dibimbangi ialah penghidap asma yang hasil ujian kendiri menunjukkan negatif palsu mungkin tidak melakukan kuarantin diri.
Tindakan kerajaan menyerahkan tanggungjawab kepada orang ramai untuk melakukan sendiri ujian mengesan covid tidak berkesan untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti dari orang lain dan di masa yang sama bergantung kepada laporan kendiri kepada Kementerian Kesihatan (KK) memberikan perbezaan yang besar dalam pengumpulan statistik.
Justeru kami ingin tahu, jika benar kit ujian kendiri itu tidak senstif maka kenapa pihak Kementerian Kesihatan meminta masyarakat melakukannya sendiri?
Orang yang perlu mempunyai kontak sosial ketika bertugas telah membeli dan menguji diri mereka sendiri dari semasa ke semasa. Mungkin Kementerian perlu meyakinkan mereka bahawa perbuatan mereka adalah sia-sia sahaja. Jika ujian air liur tidak sesensitif swab hidung, mengapakah mereka perlu mendapatkan kit ujian air liur jika ia sememangnya tidak memenuhi tujuannya?
Kami juga berasa bimbang mengenai virus baharu yang mungkin dibawa masuk ke negara ini apabila sempadan dibuka sekiranya kit ujian berkenaan tidak cukup sensitif untuk mengenal pasti pelancong yang dijangkiti dan menghalang mereka daripada masuk ke negara ini.
Surat kepada Pengarang, 24hb. Mac 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/