AKTIVITI PENCEROBOHAN BOT PUKAT TUNDA JEJAS PENDAPATAN 500 NELAYAN PANTAI PULAU BETONG DAN GERTAK SANGGUL

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil tindakan lebih berkesan bagi mencegah aktiviti pencerobohan bot pukat tunda yang dihadapi oleh lebih 500 nelayan pantai di Pulau Betong dan Gertak Sanggul, Pulau Pinang ketika ini.

Masalah yang berlarutan sejak 40 tahun yang lalu itu masih berlaku walau pun sudah banyak aduan dibuat kepada pihak berkenaan.

CAP difahamkan oleh nelayan-nelayan yang terlibat bahawa aktiviti pencerobohan ini kerap berlaku pada waktu malam berhampiran Pulau Kendi pada jarak antara tiga hingga empat batu nautika dari pantai.

Waktu siang nelayan-nelayan bot pukat tunda terbabit berlabuh dan berehat di pulau berkenaan sebelum meneruskan aktiviti mereka keesokan hari.

Seorang nelayan sedang menanggalkan siput duri yang melekat pada jaringnya.

Bot pukat tunda ini menceroboh zon A secara berkumpulan datang dari pangkalan Teluk Bahang dan Batu Maung, mereka tidak memasang lampu bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Berikutan kejadian itu pendapatan nelayan di sini telah merosot lebih 50% kerana ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka telah berkurangan.

Nelayan-nelayan di sini juga turut mengalami kerugian kerana jaring mereka rosak diancam lumpur, siput duri, sisa kayu dan besi serta berbagai bahan buangan lain selepas bot pukat tunda tersebut beroperasi.

Selain merosakkan dasar laut, sebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60% anak ikan (benih) yang tidak boleh dimakan termasuk beberapa jenis ikan berkualiti tinggi seperti senangin, bawal, tenggiri termasuk sotong dan lain-lain.

CAP merasa kesal walau pun Akta Perikanan 1985 telah digubal bagi mengawal aktiviti bot pukat tunda dari melakukan pencerobohan kawasan tangkapan yang telah ditetapkan, namun akibat kelemahan penguatkuasaan akta tersebut ia tidak memberi kesan dan gagal menanganinya.

Justeru itu CAP menggesa pihak kerajaan mengharamkan segera penggunaan pukat tunda di negara ini agar nasib nelayan pantai terbela dan sumber perikanan tidak mengalami kepupusan pada masa akan datang.

 

Kenyataan Media, 26 Mac 2021