Negara Maju Tidak Patut Eksport Sisa

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memuji Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kerana begitu teliti dalam memeriksa penghantaran yang disyaki sisa plastik dari Amerika Syarikat. Walaupun begitu, negara pengeksport khususnya negara maju seperti Amerika Syarikat tidak sepatutnya mengeksport sisa, bertanggungjawab terhadap sisa mereka sendiri dan kitar semula sisa yang dijana di negara mereka sendiri.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan media yang dikeluarkan kelmarin menyatakan bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama agensi lain telah melakukan pemeriksaan ke atas dua kontena yang disyaki mengandungi sisa plastik dari Amerika Syarikat yang tiba di Pelabuhan Klang pada 27 Mac 2021.

Pemeriksaan mendapati sisa dalam kontena itu adalah sisa plastik polyethylene dan ia disahkan bersih, sejenis (homogenous) dan mematuhi kriteria B3011 Konvensyen Basel. B3011 adalah jenis sisa plastik yang dianggap tidak berbahaya dan dengan demikian tidak tertakluk kepada prosedur Prior Inform Consent di bawah Konvensyen Basel yang memerlukan Negara pengeksport untuk memberi notifikasi kapada Negara pengimport berhubung pergerakan sisa rentas sempadan.

Kami gembira  mengetahui bahawa pihak berkuasa Malaysia amat teliti dalam pemeriksaan dua buah kontena ini. Kami berharap prosedur pemeriksaan yang sama dijalankan ke atas semua pengimportan sisa plastik ke Malaysia dalam usaha untuk mencegah lambakan sisa plastik kotor, bercampur dan tercemar di negara ini.

Malaysia telah dibanjiri dengan sisa plastik sejak 2018 selepas China mengenakan pengharaman import bermula Januari 2018. Data eksport sisa Amerika Syarikat menunjukkan bahawa pada Januari 2021 sahaja, 9,800 tan sisa plastik HS3915 dieksport dari Amerika Syarikat ke Malaysia. Kami berharap pihak berkuasa memeriksa setiap kontena mengandungi sisa plastik yang memasuki pelabuhan kita, bukan hanya dari Amerika Syarikat tetapi negara lain juga, memandangkan bukan semuanya mungkin bersih atau sejenis.

Alam sekitar dan komuniti kita terjejas teruk akibat operasi kilang kitar semula haram, lambakan dan pembakaran sisa plastik. Malah hingga kini, komuniti amat berwaspada dengan import sisa plastik dan menggesa kerajaan supaya menghentikan pengimportan sisa.

Negara kaya seperti Amerika Syarikat sepatutnya mempunyai kemampuan untuk menguruskan sisanya sendiri. Mengalihkan tanggungjawab menangani sisa plastik mereka kepada negara membangun dan kekurangan sumber adalah satu ketidakadilan.

Sementara seluruh dunia terpaksa menghadapi impak daripada sisa plastik, pihak korporat dan perniagaan yang mewujudkan masalah plastik perlu menangani masalah ini dengan segera. Kitar semula plastik tidak seharusnya digunakan sebagai justifikasi untuk pengeluaran plastik dan plastik sekali guna selanjutnya. Kita perlu bergerak ke arah sisa sifar.

 

Kenyataan Media, 31 Mac 2021