Sempena kedatangan Ramadan ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa umat Islam agar menjalani ibadah puasa pada bulan yang suci dan mulia ini dengan penuh kesederhanaan kerana Ramadan itu sendiri mengajar kita untuk bersikap sederhana.
Pendedahan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang menyatakan bufet berbuka puasa begitu rancak dipromosikan oleh pihak hotel sehingga ada yang melangkau harga RM300 seorang telah menimbulkan persoalan apakah tujuan berpuasa – berpesta makan atau beribadah.
Walaupun harganya yang melambung, beberapa tempahan harian oleh beberapa hotel memaklumkan bahawa tempahan harian untuk berbuka di coffee house dan restoran mereka yang boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan hampir penuh.
Adakah ini satu keperluan atau kehendak? Bufet Ramadan sering dikaitkan dengan pembaziran wang dan makanan malah bertentangan sekali dengan Ramadan yang sering dikaitkan dengan nilai kesyukuran, disiplin diri sikap keprihatinan terhadap orang lain.
Di saat sebahagian besar daripada umat Islam lain yang masih tidak mampu untuk bermewah dengan makanan atau lebih malang lagi tiada makanan untuk dimakan kerana kesempitan hidup ada pihak yang sanggup membelanjakan wang dengan begitu boros. Islam mengajar umatnya untuk mengelakkan daripada bersikap rakus, membazir dan boros.
“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27).
Ramadan sepatutnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam untuk bersikap sederhana, berjimat cermat dan tidak melampaui batas tetapi sebaliknya apa yang berlaku apabila tiba bulan yang penuh keberkatan ini, ramai yang berbelanja besar untuk juadah berbuka puasa dan menyambut raya yang menuntut perbelanjaan berganda daripada bulan-bulan yang lain.
Sayyid Qutb di dalam tafsirnya ‘Fi Zilal al-Quran’ menjelaskan bahawa Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Berbelanja secara berlebihan merupakan suatu sikap yang tidak baik dan membazir.
Tujuan utama kita berpuasa adalah untuk kita merasakan kelaparan yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir agar kita mempunyai sikap empati kepada mereka. Ramai daripada saudara seagama kita yang berada di negara yang bergolak berdepan dengan kebuluran.
Mereka yang berada seharusnya berkongsi rezeki dengan mereka yang tidak bernasib baik, miskin dan memerlukan, dan tidak sepatutnya mengamalkan gaya hidup yang bermewah-mewah apatah lagi membazir.
Kekayaan yang ada sepatutnya digunakan bagi membantu golongan miskin dan terpinggir agar mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan dan penindasan serta menyokong program amal jariah.
“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang-orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau batas.” (Surah al-Isra’, ayat 26).
Setiap tahun kita menjalani ibadah berpuasa pada Ramadan malangnya Ramadan yang kita lalui pada tahun-tahun sebelum ini seolah-olah tidak memberikan pengajaran serta kesan terhadap kehidupan seharian.
Jadikanlah Ramadan ini adalah bulan untuk meningkatkan lagi keimanan dengan menunaikan ibadah yang wajib dan sunat memandangkan amatlah rugi sekali sekiranya keberkatan di bulan Ramadan ini tidak direbut untuk menggandakan amal kebaikan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 16 Februari 2026


