APABILA PROFESIONAL SALAH GUNA KEPERCAYAAN

Anda teruja apabila pemaju menghantar surat yang ditunggu untuk mengambil pemilikan kosong (VP) rumah. Setelah mengambil kunci, anda mahu bekalan air dan elektrik disambung. Tetapi pemaju tidak memberikan anda sebarang borang permohonan, yang perlu diberikan bersama kunci. Ini pernah berlaku dan boleh berlaku kepada mana-mana pembeli rumah.

Pembeli unit kondominium di Southbay Plaza, Batu Maung, Pulau Pinang mengalami perkara ini. Beliau datang ke CAP dengan dilema. Pemaju menegaskan kepadanya projek itu telah mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) oleh arkitek projek. Dengan itu menurut pemaju, Pemilikan Kosong telah diserahkan sebagai pematuhan dengan Perjanjian Jual Beli (S&P).

CAP menasihatkannya supaya menulis secara rasmi kepada TNB untuk bertanyakan kenapa borang permohonan meter masih belum diberikan. Jawapan balas menyatakan bekalan elektrik masih belum diperolehi pada meter apabila pemaju memberikan kunci.

Ini bermakna Pemilikan Kosong yang diberikan kepadanya cacat dan tidak sah. Pihak pemaju cuba untuk mengelakkan daripada membayar kadar denda atau gantirugi yang ditetapkan/ Liquidated Ascertained Damages (LAD) kerana kelewatan penyerahan.

Pembeli memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah terhadap pemaju bagi LAD daripada tarikh siap menurut S&P (28/04/2016), hingga ke tarikh borang permohonan meter TNB (07/06/2016).

Di Tribunal, Pemaju mendakwa CCC yang dikeluarkan pada 25/04/2016 mematuhi Perkeliling Am No. 3/2008 bertarikh 27.11.2008 yang dikeluarkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia. Beliau berkata, Perkeliling itu menjelaskan bahawa “pada tarikh pembeli mengambil pemilikan kosong unit yang dimaksudkan dengan bekalan air dan elektrik tersedia untuk disambungkan”, kerja-kerja berkaitan pemasangan/pembinaan meter air dan elektrik tidak semestinya lengkap.

Pemaju merujuk kepada perenggan ketiga Perkeliling padahal perenggan yang berkaitan adalah perenggan kedua yang bertajuk “Penjelasan Kerja Pembinaan yang Mesti Disiapkan Untuk Pensijilan”. Di antaranya:

  • Bekalan elektrik dan air telah ada dan sedia untuk disambungkan ke paip unit yang dimaksudkan;
  • Sub stesen TNB perlu menyediakan tenaga atau elektrik alternatif disediakan oleh TNB
  • Semua kabel elektrik luaran dari sub stesen ke unit mestilah dilengkapi bekalan.

Keputusan Tribunal memihak kepada pembeli dan akhirnya dianugerahkan RM15,715.74.

CAP kemudian melaporkan arkitek itu kepada Lembaga Arkitek yang mendapatinya BERSALAH atas tuduhan berikut:

“Anda dengan salah mengesahkan Borang G16 (Sistem Bekalan Elektrik Luaran) dan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) tanpa memastikan bekalan elektrik siap untuk disambung untuk,

“SOUTHBAY PLAZA @ PUNCAK SOUTH BAY, NO. 1, CHANGKAT BATU MAUNG 1, 11960 BAYAN LEPAS, PULAU PINANG”

“Jawatankuasa Disiplin dengan ini membuat TEGURAN KERAS kepada anda dan juga mengenakan DENDA RM25,000.00 (RINGGIT MALAYSIA DUA PULUH LIMA RIBU) untuk dibayar dalam tempoh 30 HARI dari tarikh ini dengan memihak kepada Lembaga Arkitek Malaysia”.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *