Asbestos dalam Serbuk Rangoli: Apabila Kemudahan Membawa Kemudaratan

Kebimbangan tercetus susulan penemuan asbestos, suatu bahan karsinogen, di dalam serbuk Rangoli. Ketika suasana sambutan perayaan Deepavali baru sahaja reda, satu penemuan yang membimbangkan mendedahkan bahawa serbuk Rangoli iaitu serbuk berwarna yang dipasarkan dalam pek untuk penghasilan ‘Rangoli Kolam’ (seni hiasan lantai masyarakat India untuk perayaan) didapati mengandungi asbestos.

Siaran akhbar bertajuk “Safe Festivals: Beware Asbestos Exposure” mendedahkan kewujudan asbestos dalam sebahagian besar sampel serbuk Rangoli yang diuji oleh ISAA Engineering, sebuah makmal analisis asbestos di Seoul, Korea Selatan, yang diiktiraf oleh Kementerian Pekerjaan dan Buruh serta Kementerian Iklim, Tenaga dan Alam Sekitar Korea Selatan. Penyelidikan ini dijalankan susulan tindakan penarikan semula lima produk Rangoli di New Zealand pada bulan Jun 2026 lanjutan daripada pencemaran asbestos.

Organisasi-organisasi yang terlibat dalam penyelidikan ini termasuk Asian Citizens’ Center for Environment and Health (Eco-Health) dari Korea Selatan; Asian Ban Asbestos Network (ABAN); Ban Asbestos Network Korea (BANKO); Occupational and Environmental Health Network of India (OEHNI); Health and Safety Advisory Centre, Malaysia; serta Asbestos-Free Malaysia Network.

Sampel serbuk Rangoli yang telah diuji.

Yeyong Choi, Pengarah Asian Citizens’ Center for Environmental Health (Eco-Health), mendedahkan satu dapatan yang mengejutkan semasa taklimat media dalam talian pada 5 November 2026. Daripada 50 sampel Rangoli, 60% didapati tercemar dengan asbestos tremolit, iaitu bahan karsinogen Kumpulan 1. Kesemua sampel ini diperoleh melalui peruncit dalam talian dan kedai fizikal di India, Malaysia, dan England pada bulan Oktober 2026. Sampel Rangoli dari India yang dijual di bawah jenama Ascension merupakan produk yang paling dicemari, dengan kadar pengesanan yang mencecah 86.7%. Jenama dari England, “Food Factory”, yang dijual di sebuah pasar raya di London Timur pula mencatatkan kadar pengesanan asbestos sebanyak 67%.

Kadar pengesanan yang tinggi ini amat membimbangkan, memandangkan kesannya yang sangat parah kepada kesihatan manusia, terutamanya wanita, yang merupakan majoriti daripada golongan pengguna. Menurut “Product Safety”, sebuah unit khusus di bawah Kementerian Perniagaan, Inovasi dan Pekerjaan Kerajaan New Zealand, walaupun tiada tahap pendedahan asbestos yang dianggap selamat, ia tidak menyebabkan kemudaratan kesihatan serta-merta; namun, kesan kroniknya akan mula kelihatan dalam tempoh 15 hingga 40 tahun.

Kesan pendedahan kepada asbestos tidak boleh dipandang ringan, kerana ia membawa pelbagai kemudaratan kepada kesihatan manusia, seperti kanser dan penyakit paru-paru, memandangkan zarah-zarah yang tersebar di udara boleh terhidu semasa penggunaan. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati, pengguna dinasihatkan supaya berwaspada dan berhenti menggunakan serbuk Rangoli berasaskan mineral tiruan, serta beralih kepada alternatif semula jadi tradisional seperti tepung beras dan bijirin.

Sampel serbuk Rangoli

Pihak berkuasa kerajaan pula perlu mengambil langkah proaktif untuk menyiasat produk-produk ini demi kepentingan kesihatan awam, memandangkan penggunaan tremolit adalah dilarang berkuatkuasa mulai 15 Oktober 2027 bagi semua tujuan, kecuali untuk penyelidikan dan analisis, di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Larangan Penggunaan Bahan) 2026.

Skop pendedahan bagi pengguna di rumah mungkin lebih kecil, manakala risiko besar  tertumpu kepada pekerja dalam industri perlombongan dan pembuatan produk-produk ini. Hal ini membangkitkan persoalan penting mengenai keberkesanan kawal selia, etika pemerolehan sumber dan pembuatan, serta bahaya pekerjaan yang dihadapi oleh para pekerja di seluruh rantaian bekalan.

Memastikan kesihatan dan keselamatan di sepanjang rantaian bekalan menuntut usaha kolektif daripada semua pihak berkepentingan, yang disokong oleh peraturan yang mantap, akauntabiliti korporat, serta pilihan pengguna yang berasaskan maklumat.