Atasi segera masalah hakisan tebing Sungai Kerian

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang mengambil langkah-langkah awal dengan segera untuk mencegah hakisan tebing Sungai Kerian sebelum ia menjadi lebih buruk.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh SAM, kami mendapati hakisan tebing Sungai Kerian perlu diberikan perhatian yang serius memandangkan terdapat banyak struktur tebing yang semakin terhakis.

Punca berlakunya masalah hakisan tersebut berkemungkinan disebabkan oleh pelbagai faktor. Dengan itu pihak berkuasa berkenaan perlu mengkaji dan meneliti kesemua punca yang menyebabkan berlakunya hakisan ini dan mengambil tindakan wajar untuk memitigasi dan mencegah hakisan dari terus berlaku.

Bot besar yang membawa muatan sedang menuju ke pelantar pendaratan ikan, Sg.Tok Tuntong.
Antara hakisan tebing Sungai Kerian.

Menurut beberapa orang nelayan dan pemancing yang ditemubual SAM secara rambang  mendakwa antara punca berlakunya hakisan di Sungai Kerian ini adalah disebabkan oleh alun bot-bot besar yang membawa muatan berulang alik menyelusuri sungai berkenaan untuk ke pelantar pendaratan ikan yang bertempat di Jalan Ban Sungai Tok Tuntong, Nibong Tebal.

Malah para nelayan sungai juga sebelum ini telah mengutarakan masalah ini ke pihak jabatan-jabatan yang berkaitan mengenai kesan terhadap hakisan yang mungkin akan berlaku sekiranya banyak bot-bot besar menggunakan Sungai Kerian sebagai laluan utama selain bimbang tentang keselamatan mereka.

Menurut mereka lagi lambakan kolam ternakan akuakultur yang begitu hampir dengan tebing sungai juga antara punca yang menyebabkan hakisan selain kemerosotan kualiti air sungai kerana sisa buangan kolam dialir ke Sungai Kerian.

Pihak berkuasa perlu turun ke padang untuk membuat tinjauan bagi mengenalpasti sama ada dakwaan tersebut berasas dan merungkaikan segala permasalahan tersebut.

Sepanjang tinjauan SAM, kami berkesempatan melihat bot besar yang sedang membawa muatan menuju ke bangunan pendaratan ikan berkenaan.   Jelas kelihatan alun dari bot-bot besar yang berulang alik menyelusuri sungai ini mampu menyebabkan hakisan yang lebih serius sekiranya tiada penghadang semulajadi atau tembok penahan yang kukuh bagi mengelakkan berlakunya runtuhan tebing sungai.

Pembangunan dan aktiviti yang tidak terkawal sama ada secara sah atau tidak boleh menyebabkan tebing sungai menjadi tidak stabil.   SAM menggesa JPS Pulau Pinang dan pihak berkuasa negeri mengambil tindakan segera dan wajar dalam pengurusan sungai di sini serta mencegah hakisan tebing Sungai Kerian.

 

Kenyataan Media, 7 April 2021