ATASI SEGERA MASALAH TANAH SAWAH DIANCAM PENCEMARAN: CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Kedah mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran air sisa domestik dari taman perumahan yang mengancam 23 hektar sawah di Kampung Masjid dan Kampung Teroi di sini.

Berikutan kejadian itu tanaman padi yang diusahakan oleh 10 petani dari kedua-dua kampung tersebut mengalami kerosakan teruk dan menjejaskan hasil pendapatan mereka.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati masalah ini amat serius kerana punca pencemaran yang berlaku bukan saja melibatkan air kumbahan tetapi juga sampah sarap dari lebih lima taman perumahan di kawasan tersebut.

Sisa dan bahan buangan itu masuk ke dalam sawah di kampung ini melalui parit berhampiran menyebabkan tanah sawah di kawasan ini turut tercemar.

CAP percaya jika keadaan ini dibiarkan kerosakan ke atas tanah sawah dan tanaman padi kepunyaan petani-petani di kampung berkenaan akan merebak dengan meluas pada masa akan datang.

Sehubungan itu CAP turut meminta Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat serta membantu petani-petani yang terlibat mengatasi punca berlakunya kejadian ini.

CAP kesal dengan kejadian tersebut dan berpendapat masalah seperti ini tidak mungkin berlaku jika perancangan pembangunan di kawasan berkenaan dilakukan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Mengenai kemerosotan hasil padi yang di alami oleh petani-petani di sini akibat ancaman pencemaran tersebut, CAP berharap pihak yang terlibat membayar pampasan kepada mereka bagi meringankan beban kehidupan yang terpaksa ditanggung selama ini.

Pada masa yang sama sistem saliran yang lebih sempurna dan selamat untuk digunakan oleh petani-petani di sini perlu dibina dengan secepat mungkin oleh JPS agar masalah seperti ini tidak berulang.

 

Kenyataan Media, 3hb Mac 2015