KES 2
Seorang tua memiliki polisi insurans untuk melindungi daripada 36 penyakit kritikal. Beliau mengalami strok (penyakit yang dilindungi oleh polisinya) dan kehilangan pergerakan pada sebelah tangan; oleh itu beliau membuat tuntutan. Bagaimanapun, tuntutan itu dinafikan oleh pihak syarikat, menyebabkan beliau membuat aduan kepada CAP.
CAP menulis kepada syarikat meminta alasan bagi penolakan tuntutan itu. Jawapannya amat mengejutkan. Ia menyatakan strok disebabkan oleh pecahnya beberapa saluran darah dalam otak, dan memandangkan semua saluran darah disambungkan dengan jantung, strok sebenarnya masalah jantung yang tidak disenaraikan dalam 36 penyakit kritikal. Oleh itu, pihak syarikat tidak bertanggungjawab untuk membayarnya.
CAP membalas hujah syarikat dengan menunjukkan bahawa masalah jantung adalah KARDIOVASKULAR dan masalah otak adalah SEREBROVASKULAR. Selanjutnya, doktor bedah jantung tidak membedah otak dan doktor otak tidak membedah jantung.
Disertakan bersama jawapan adalah surat yang diperolehi dari doktor bedah pengadu yang membantah cerita doktor syarikat yang menyatakan strok adalah masalah jantung.
Pihak syarikat tidak menjawab surat CAP tetapi membayar tuntutan RM50,000.