Bahaya Asap Rokok Basi (“Secondhand Smoke”)

Bayangkan anda lahir dan membesar dalam keluarga bebas rokok. Tiba-tiba ada ahli keluarga mula hisap rokok dalam rumah sampai asap meresap masuk ke bilik anda. Tekak rasa terbakar, kepala sakit berdenyut dan nafas jadi sesak bila terpaksa hidu asap busuk setiap hari.

Asap rokok basi atau “secondhand smoke” ini bukan mitos rekaan doktor. Kajian sains membuktikan asap yang dihembus keluar ini mengandungi ribuan bahan kimia beracun. Paling kejam, perokok pasif iaitu orang yang tak merokok tapi terpaksa hidu asap ini berisiko tinggi terkena kanser paru paru, strok dan penyakit jantung. Mereka tak beli rokok tapi mereka yang bayar harga kesihatannya.

Merokok dalam bilik tertutup adalah tindakan yang sangat mementingkan diri. Asap itu akan meresap masuk ikut celah pintu, masuk ke ruang tamu dan bilik orang lain. Malah, racun ini akan melekat pada perabot, karpet dan langsir. Racun ini dipanggil “thirdhand smoke” dan ia boleh kekal berbulan bulan dalam rumah. Kesian pada mak ayah yang dah tua di rumah terpaksa sedut racun akibat perbuatan kita.

Alang alang sekarang kita berada di bulan Ramadan, inilah masa paling tepat dan mudah untuk buang terus tabiat merokok. Siang hari anda dah buktikan anda mampu tahan diri dari merokok selama berjam jam tanpa sebarang masalah. Kalau siang boleh tahan dan tak mati pun tanpa rokok, kenapa waktu malam mesti cari racun ini semula.

Gunakan keberkatan bulan mulia ini untuk niat berhenti merokok sepenuhnya. Berhenti merokok bukan sekadar untuk selamatkan paru paru anda sendiri, tapi sebagai tanda hormat dan perlindungan untuk keluarga di rumah. Jangan sampai ada ahli keluarga tersayang yang jatuh sakit baru nak menyesal tak sudah.

Cuba tag ahli keluarga atau kawan anda yang sedang cuba berhenti merokok. Sama sama kita beri semangat untuk mereka berubah sempena bulan puasa ini.

Sumber: Public Health Malaysia