“Baik untuk Kesihatan Mental dan Fizikal”

Berkebun di Bandar – Temu bual 4

Bekas guru sekolah menengah, Cik Pua Yoke Fang, mula mengusahakan kebun kecil tetapi mampan di rumahnya di Island Glades, Pulau Pinang apabila beliau bersara dua tahun lalu. Sejak setahun lalu, beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan berhubung pandemik Covid memberinya lebih banyak masa di rumah, yang beliau gunakan sepenuhnya untuk mengembangkan kebun kecilnya.

Sebagai pekebun tegar, beliau menanam sayur-sayuran dalam beberapa pasu dan bekas di mana  ada ruang – di depan rumah, di atas balkoni, malah taman mini di dalam rumah. Di dalam kebunnya, beliau menanam biji benih terung ungu bulat yang diperolehinya daripada minggu berkongsi biji benih anjuran CAP tahun lalu. Biji benih itu disemai dalam bekas kitar semula.

Beliau juga menanam beberapa jenis sayuran lain seperti Bayam Brazil, kacang botol, kacang bendi, sayur manis, kacang panjang dan daun ubi keledek. Selain itu beliau turut menanam pelbagai jenis herba seperti serai wangi, daun pandan, daun kari, daun pudina, selasih dan ginseng Jawa. Herba-herba itu kemudian digunakan dalam masakan hariannya.

Bayam Brazil.
Bayam Green Ceylon.
Daun ubi kentang
Bendi.
Terung ungu bulat.
Tanaman Tin.

Beliau juga rajin menanam pohon buah-buahan seperti pohon ara, buah markisa, limau nipis, ciku, tembikai susu, belimbing, jambu batu dan buah nona. Ada di antara pohonnya sudah mulai berbuah. Walaupun sesetengahnya belum berbuah namun beliau sabar menunggu. Melihat pohon di laman rumah sudah cukup menggembirakannya. Beliau lebih gembira jika dapat memetik hasil tanaman buahan dan sayurannya untuk dimasak.

Sementara itu, Cik Pua berkongsi tanaman cili padinya dengan jiran. Beliau gembira apabila jirannya datang dan mengagumi tumbuhan yang ditanamnya. Ada perasaan selamat apabila anda memakan sayuran yang ditanam sendiri. Memang berbaloi menghabiskan masa di kebun, kata Cik Pua.

“Berkebun benar-benar bagus … baik untuk kesihatan fizikal dan mental,” ujar beliau.

#GreenActionWeek Agroecology Fund