
Laporan baharu mendedahkan peningkatan pembiayaan kepada sektor yang merosakkan biodiversiti dan keperluan yang desak untuk mengawal selia sektor kewangan bagi mencapai Matlamat Biodiversiti Global
Memandangkan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) COP16 semakin hampir, penyelidikan dan analisis baharu dikeluarkan hari ini oleh Forests and Finance Coalition (F&F) iaitu kumpulan 10 pertubuhan masyarakat sivil antarabangsa termasuk Sahabat Alam Malaysia (SAM), Rainforest Action Network, TuK Indonesia, Profundo, Amazon Watch, Reporter Brasil, BankTrack, Friends of the Earth US, Milieudefensie & CED Cameroon mendedahkan bahawa bank-bank utama di seluruh dunia telah menyalurkan kredit sebanyak AS$395 bilion kepada sektor yang mendorong penebangan hutan dan pelanggaran hak asasi manusia di hutan tropika, semenjak Perjanjian Paris digunapakai (tahun 2016). Dalam tempoh yang terdekat, iaitu dari Januari hingga Jun 2024, sebanyak AS$77 bilion kredit telah disalurkan kepada sektor ini.
Analisis selanjutnya juga mendedahkan bahawa kerajaan di seluruh dunia hanya melakukan sedikit sahaja untuk menghentikan perkara ini daripada berterusan, walaupun telah menerima pakai Rangka Kerja Biodiversiti Global (GBF) hampir dua tahun yang lalu. Penyelidikan ini menekankan keperluan yang desak bagi langkah kawal selia yang teguh untuk menyelaraskan amalan kewangan dengan objektif GBF. ‘Jurang kewangan’ sebenar bagi pemuliharaan adalah jurang dalam mengawal selia sektor kewangan untuk menghentikan bank dan pelabur daripada membiayai aktiviti yang diketahui akan mencetuskan krisis biodiversiti.
Laporan tahunan kedua Banking on Biodiversity Collapse (BoBC) ialah analisis paling komprehensif mengenai peranan kewangan di peringkat antarabangsa dalam membiayai aktiviti yang menyebabkan kemusnahan hutan tropika. Laporan itu meneliti bank dan pelabur yang membiayai 300 syarikat yang beroperasi dalam enam sektor komoditi, iaitu daging lembu, minyak sawit, pulpa dan kertas, getah, soya, dan kayu balak, yang berisiko tinggi dalam mendorong penebangan hutan tropika kehilangan biodiversiti, dan pelanggaran hak asasi manusia di Asia Tenggara, Amerika Latin, dan Afrika Tengah dan Barat.
Diterbitkan serentak adalah laporan kedua yang bertajuk, Regulating Finance for Biodiversity. Kedua-dua laporan ini telah menunjukkan bahawa majoriti pembiayaannya datang dari Brazil, China, Indonesia, Kesatuan Eropah (EU), dan Amerika Syarikat (AS) dan pengukuhan kawal selia sektor kewangan di lima negara dan wilayah ini akan memain peranan yang penting dalam mengatasi masalah krisis biodiversiti ini. Kawal selia daripada kerajaan diperlukan memandangkan inisiatif perbankan sukarela terbukti gagal, dengan lebih separuh daripada 30 bank penyumbang terbesar kepada enam sektor komoditi ini merupakan ahli sekurang-kurangnya satu inisiatif kemampanan, seperti Prinsip bagi Perbankan Bertanggungjawab (PRB), Perikatan Perbankan Sifar Bersih (NZBA), dan Pasukan Petugas mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Alam Semula Jadi (TNFD).
Data F&F[1] mendedahkan bahawa Malaysia adalah negara yang pegangan pelaburan kedua terbesar bagi bon dan saham (AS$6.9 bilion) dalam syarikat yang beroperasi dalam sektor komoditi berisiko tinggi dalam mendorong penebangan hutan tropika. Walaupun sektor kewangan Malaysia sebahagian besarnya terdedah kepada sektor komoditi ini melalui pelaburan, banknya menduduki tempat ketujuh di seluruh dunia, menyumbangkan sebanyak AS$16.4 bilion dalam pinjaman dan perkhidmatan pengunderaitan dalam tempoh 2016 – Jun 2024.
Penilaian dasar kewangan dan pelaburan F&F 2023[2], yang menilai kualiti dan kemantapan dasar institusi kewangan berdasarkan satu set 38 kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), membuat kesimpulan bahawa di peringkat global, dasar institusi kewangan adalah amat tidak mencukupi.
Di peringkat global, institusi kewangan menerima purata skor keseluruhan hanya 17%, manakala purata skor bagi institusi kewangan Malaysia adalah lebih tinggi sedikit iaitu 23%. Penilaian dasar F&F menunjukkan peningkatan yang bertambah baik lagi memberangsangkan dalam kalangan institusi kewangan di Malaysia. Walau bagaimanapun, prestasi dasar pada keseluruhannya belum lagi menggambarkan tindakan segera dalam skala yang diperlukan untuk menanganinya perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan isu sosial.
Pertubuhan masyarakat sivil di Malaysia dan di seluruh dunia masih bergelut dengan projek yang merosakkan hutan serta menimbulkan risiko alam sekitar dan sosial yang tinggi. Walaupun kemudaratan sosial dan alam sekitar yang berkaitan dengan perkembangan sektor komoditi ini sudah pun didokumenkan secara meluas; kewangan terus mengalir tanpa sebarang hukuman. Aliran kewangan swasta kepada aktiviti yang membahayakan biodiversiti adalah lebih besar dibandingkan pelaburan awam dalam pemuliharaan.
Tiga mesej utama daripada laporan global yang berkenaan dan boleh dijadikan rujukan kepada pengawal selia dan institusi kewangan Malaysia ialah:
1. Laporan BoBC global mendedahkan bahayanya kebergantungan yang berlebihan institusi kewangan terhadap skim pensijilan seperti Forest Stewardship Council (FSC) dan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO). Banyak pembiaya dengan dasar tanpa penebangan hutan bergantung semata-mata pada pensijilan ini bagi pematuhan, walaupun sistem pensijilan ini terdapat kekurangan yang ketara. Institusi kewangan mestilah mengamalkan usaha wajar yang lebih ketat dan proses pengesahan bebas untuk mengelakkan menyumbang kepada penebangan hutan dan pelanggaran hak asasi manusia.
2. Pembuat dasar mestilah menguatkuasakan peraturan sektor kewangan yang lebih ketat serta memastikan aliran kewangan dan pelaburan tidak menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar dan penyalahgunaan hak asasi manusia, dan sebaliknya melakukan peralihan yang adil ke arah penyelesaian yang mampan, diterajui oleh komuniti yang melindungi ekosistem dan menggalakkan pembangunan yang saksama.
3. Pengawal selia sektor kewangan perlu membangunkan kepakaran dalaman mengenai biodiversiti dan hak asasi manusia dan mewujudkan platform pemegang taruh yang inklusif untuk berunding dengan Orang Asli, masyarakat sivil dan pakar lain. Dasar berfokuskan hasil yang sejajar dengan objektif GBF dan mengalihkan ekonomi daripada aktiviti berbahaya mestilah disokong oleh rejim sekatan yang teguh. Ini seharusnya termasuklah hukuman yang berat bagi ketidakpatuhan dan kewajipan mandatori untuk membiayai usaha pemulihan dan perbaikan bagi komuniti dan ekosistem yang terjejas.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Siaran Akhbar, 17 Oktober 2024
Pautan yang berkaitan untuk mandapatkan laporan:
Banking on Biodiversity Collapse (BoBC) 2024
- Laporan Penuh – https://forestsandfinance.org/BoBC-2024
- Ringkasan Eksekutif – https://forestsandfinance.org/BoBC-summary-2024
- Laman web – https://forestsandfinance.org/banking-on-biodiversity-collapse/
Regulate Finance for Biodiversity (RF4B)
- Laporan Penuh – https://forestsandfinance.org/finreg-assessment-2024
- Ringkasan Eksekutif – https://forestsandfinance.org/finreg-assessment-summary-2024
- Muka surat penerbitan – https://forestsandfinance.org/news/bobc-2024-regulate-finance/
[1] https://forestsandfinance.org/data/
[2] https://forestsandfinance.org/bank-policies/