Bantahan Penganjuran Program Pertandingan Memancing di Pantai Pasir Panjang, Segari, Daerah Manjung, Perak

Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah dan bimbang terhadap program pertandingan memancing yang hendak dianjurkan di Pantai Pasir Panjang, Segari, Daerah Manjung pada hari Ahad, 14 Oktober 2018.

Mengikut Rancangan Fizikal Negara (RFN), Pantai Pasir Panjang dan persekitarannya mempunyai kepentingan nilai pemeliharaan tinggi yang dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) kerana ianya adalah kawasan pendaratan penyu utama di negeri Perak.

Pantai Pasir Panjang adalah sebahagian daripada kawasan yang dicadangkan sebagai Taman Negeri dan pada dasarnya Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri dan Pegawai Daerah Manjung telah bersetuju terhadap cadangan penubuhan Taman Negeri tersebut.

Manakala sebelum ini, Pegawai Daerah Manjung telah membuat keputusan menolak permohonan penganjuran program pertandingan memancing di Pantai Pasir Panjang ekoran mendapat bantahan daripada masyarakat setempat kerana penganjur gagal memastikan kebersihan dan memberi kesan terhadap persekitaran sebagaimana yang pernah dianjurkan di Pantai Teluk Batik, Pantai Teluk Senangin dan Pantai Pasir Panjang.

SAM berharap Pegawai Daerah Manjung akan memastikan program pertandingan memancing tidak dianjurkan di Pantai Pasir Panjang pada 14 Oktober ini.

 

Kenyataan Media, 10 Oktober 2018