BANTAHAN PENGOPERASIAN KILANG PEMBUATAN BATERI DI JENJAROM, KUALA LANGAT, SELANGOR

 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa supaya pihak Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan supaya mengambil peduli dan mempertimbangkan dengan serius bantahan penduduk-penduduk tempatan terhadap cadangan pengoperasian semula kilang bateri di kawasan penempatan mereka.

Kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang berkenaan perlu mengambil iktibar dari segala aspek khususnya isu yang membabitkan pencemaran yang berlaku sebelum ini yang telah menjejaskan kesihatan dan ketenteraman penduduk dan orang awam.

Walaupun pemohon baru iaitu kilang bateri Federal Power Holdings Sdn. Bhd yang mana dalam satu kenyataan media telah memberi jaminan bahawa tidak akan menghasilkan produk yang membahayakan kesihatan termasuk menyebabkan pencemaran yang boleh mengancam penduduk setempat di Jenjarom, namun itu bukan jaminan dan alasan kukuh untuk membenarkan syarikat tersebut memulakan semula aktiviti di kilang terbabit.

SAM sebelum ini telah menerima jawapan bertulis dari pihak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berhubung pembatalan lesen operasi serta mengarahkan kilang bateri Leoch Accupower (M) Sdn. Bhd ditempatkan  ke kawasan industri berat. Surat yang bertarikh 19hb Disember 2019 tersebut turut menyatakan pembatalan lesen serta arahan menempatkan ke kawasan industri berat adalah selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 30/2019 bertarikh 16hb Oktober 2019.

Hasil daripada keputusan mesyuarat ini membuktikan bahawa industri berat dan industri berasaskan bateri tidak sesuai dijalankan di kawasan Kampung Jenjarom atau sebarang tapak yang berstatuskan industri kecil dan sederhana.

Kami berpandangan perkara ini perlu diteliti secara mendalam.  Ini berikutan aktiviti yang akan dilaksanakan seakan sama dengan aktiviti pembuatan bateri yang diterajui oleh syarikat Leoch Accupower sebelum ini. Lagi pula, kilang yang berstatus bateri dan sel kering termasuk dalam kategori industri berat, jadi adalah tidak wajar jika pihak kerajaan negeri memberi kebenaran kepada Syarikat Federal Power Holdings Sdn. Bhd. untuk mengambil alih kilang tersebut.

Timbul juga persoalan sama ada syarikat Federal Power Holdings Sdn.Bhd dibelakangi oleh pemilik asal syarikat Leoch Accupower yang dibatalkan lesen premis perniagaan di sini sebelum ini sebagai mengaburi mata penduduk-penduduk tempatan.

Kerajaan negeri dan mana-mana pihak berkuasa tidak harus berkompromi dalam hal yang membabitkan pencemaran alam sekitar yang mengancam kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Jangan benarkan industri berat di kawasan yang dizonkan untuk industri kecil dan sederhana, serta berhampiran dengan kawasan kediaman dan kemudahan awam seperti sekolah.

Kenyataan Media,  14 Januari 2021

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *