Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya membekukan dengan segera dan menghentikan pengeluar simen daripada menaikkan harga simen.
Simen disenaraikan sebagai “barangan kawalan berjadual” dalam laman sesawang KPDNHEP pada 2019. Bagaimanapun, menurut laporan berita pada 2008, Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Mohd Zin Mohamed berkata kerajaan mungkin memperkenalkan mekanisme untuk memastikan batang keluli dan simen yang dibekalkan kepada kontraktor adalah pada harga yang munasabah. Adakah ini bermakna kerajaan sebelum ini telah melonggarkannya 10 tahun yang lalu?
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga perlu menyiasat jika pengeluar simen telah melanggar Akta Persaingan kerana laporan menyatakan bahawa syarikat ini kini menguasai 85% industri simen tempatan.
Pihak Kementerian perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang sudah pun menaikkan harga sebelum kelulusan kerana simen adalah barangan harga kawalan. Menurut laporan, pembekal simen telah menaikkan harga kepada RM40.00 daripada RM20.00 bagi setiap meter padu sejak 15 Jun 2019.
Harga simen tidak pernah meningkat dengan begitu mendadak sebelum ini dan adakah kerajaan dimaklumkan mengenai perkara ini?
Kami sekali lagi mengulangi gesaan agar KPDNHEP dan MyCC menyiasat jika industri ini telah melanggar sebarang akta dan pada masa yang sama membekukan kenaikan harganya.
Kenyataan Akhbar, 18 Jun 2019