Penumpang feri, pejalan kaki yang sering berulang-alik, telah menyuarakan kebimbangan mengenai cara kerajaan memberikan maklumat sedikit demi sedikit mengenai transformasi perkhidmatan feri mulai 1 Januari 2021.
Misalnya, mereka berasa bimbang selepas membeli tiket bot laju di kaunter tiket Terminal Feri Sultan Abdul Halim di Butterworth, mereka terpaksa naik/turun anak tangga yang curam (sedang dibina) untuk sampai ke dermaga bot laju berlabuh di tingkat bawah.
Terminal feri bersambung dengan tingkat tiga Penang Sentral dan kebimbangan mereka ada benarnya. Sungguhpun dikatakan warga emas, OKU dan wanita hamil akan disediakan dengan perkhidmatan van shuttle percuma di Terminal Feri Sultan Abdul Halim, ada kemungkinan van shuttle yang disediakan tidak mencukupi ketika waktu puncak atau sebaliknya, penjarakan sosial tidak dapat dilakukan.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) agar meredakan kebimbangan pejalan kaki yang terpaksa mengambil laluan yang jauh untuk sampai ke bot laju jika memang benar ada rancangan untuk mengekalkan kaunter tiket di tempatnya sekarang.
Menurut laporan, kedua-dua bot laju kaca gentian – Kenangan 3 dan 6 – masing-masing sudah berusia 21 dan 19 tahun. Kami ingin tahu siapakah yang membuat keputusan untuk membeli bot lama ini, apa kosnya, dan bagaimana keputusan itu diambil. Ini disebabkan enjin bot lama seperti itu memerlukan penyelenggaraan dan pembaikan yang lebih mahal.
Terdapat kebimbangan di kalangan penumpang yang berulang-alik mengenai kekukuhan bot laju berkenaan sekiranya kapal lain menghampirinya. Kekukuhannya perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum bot laju diperkenalkan.
Sehubungan itu, kami mengulangi gesaan kepada Kementerian Pengangkutan dan PPC agar bersikap lebih telus dan lebih bersedia dalam memberikan maklumat dan kemas kini berhubung perkara tersebut. Ia seolah-olah suatu jenaka apabila media sebelumnya melaporkan pengumuman yang bercanggah hingga menimbulkan kekeliruan mengenai berakhirnya perkhidmatan feri yang dibuat oleh Menteri Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.
Kenyataan Akhbar, 28 Disember 2020