Kartel daging beku perlu dibanteras dari akar umbi – CAP

Penduduk Malaysia begitu terkejut apabila mengetahui hidangan daging kesukaan mereka seperti daging masak kicap, daging rendang mahupun daging burger mungkin diperbuat daripada daging kuda, kanggaru atau daging yang tidak halal.

Inilah hakikatnya berikutan laporan terbaharu mengenai kartel daging beku yang mendedahkan bahawa daging kanggaru dan daging kuda diimport ke negara ini secara tidak mengikut undang-undang, dibungkus semula dan dijual sebagai daging lembu kepada pengguna. Lebih buruk lagi, amalan ini telah berlanjutan selama 40 tahun.

Terdapat  4 agensi kerajaan  yang bertindak dalam meluluskan import daging halal dari negara luar. Namun agensi terbabit tidak menjelaskan kepada orang ramai bagaimana daging tidak halal terlepas daripada pengawasan mereka. Yang jelas, pengimportan daging tidak halal itu boleh berlaku akibat amalan rasuah pegawai-pegawai agensi terbabit serta penipuan di pihak sindiket. Oleh itu, kerajaan perlu memandang serius isu ini dan mereka yang melakukan jenayah tersebut perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka.

Kita tidak dapat membayangkan amalan yang tidak bertanggungjawab itu boleh berlaku di negara kita melalui amalan rasuah mereka yang terlibat. Dengan sekadar RM150 hingga RM300, daging beku berkenaan boleh terlepas dari pandangan  pegawai penguatkuasa terbabit.

Sejak muncul berita mengenai kartel daging beku pada awal Disember, media sering menyiarkan tentang isu ini. Pihak berkuasa menjalankan siasatan namun tidak bertindak menarik semula daging beku import dari pasaran. Ini bermakna pengguna masih terus memakan daging yang tercemar walaupun CAP pernah menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tersebut.

Disebabkan harga daging tempatan yang mahal, restoran dan tempat makan lain menggunakan daging beku import dalam makanan yang dihidang kepada pelanggan. Pengeluar daging yang diproses turut menggunakan daging beku import dalam produk mereka.

Justeru itu, kita tidak boleh menganggap bahawa daging berlabel ‘Halal’ itu benar-benar halal. Pengguna dinasihatkan agar tidak membeli daging beku import dan produk daging yang diproses  sehingga pihak berkuasa dapat memastikan bahawa daging beku yang beredar di pasaran adalah daging yang Halal.

Sehubungan dengan laporan terbaharu mengenai penyeludupan daging beku import di negara ini, Persatuan Pengguna  Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agar:

> Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk menyiasat kegagalan sistem yang ada bagi daging halal dan membuat saranan agar ia tidak berulang di masa depan.

> Menarik semula dengan segera daging beku yang diimport dari pasaran.

> Mengambil tindakan tegas terhadap penyeludup daging beku import dan pegawai kerajaan yang mengamalkan rasuah kerana ia melibatkan soal akidah orang Islam.

 

Surat kepada Pengarang, 29 Disember 2020