Kehidupan moden dan cara hidup bandar, dengan budaya penghasilan makanan secara besar-besaran, telah menyebabkan orang ramai mula melupakan dari manakah datangnya makanan mereka. Bukan hanya itu, terdapat kekurangan makanan sihat dalam kalangan generasi hidangan dan makanan segera hari ini.
Berkebun di bandar merupakan salah satu cara terbaik untuk mendapatkan makanan selamat, sihat dan berkhasiat untuk keluarga. Buahan, sayuran dan herba boleh ditanam secara organik – tanpa bahan kimia dan racun makhluk perosak. Anda boleh memilih apa yang anda mahu tanam, bagaimana anda mahu menanamnya dan di mana anda mahu menanamnya.
Makanan yang dihasilkan secara besar-besaran perlu diangkut dengan perjalanan yang jauh sebelum tiba kepada anda. Ini memerlukan pembakaran bahan api yang banyak, dan juga meningkatkan peluang pencemaran daripada bakteria dan virus. Berkebun di bandar membantu mengurangkan jejak karbon sistem makanan dan memastikan makanan anda selamat.
Berkebun di bandar juga dapat menjimatkan wang. Ia juga menyatukan orang ramai bagi tujuan sama, dan dengan itu membina komuniti. Ia adalah satu kemahiran berguna yang perlu ada dalam dunia hari ini, dan cara terbaik untuk mendidik kanak-kanak mengenai makanan mampan dan manfaat kesihatan. Dan ia membantu anda untuk berhubung semula dengan alam semula jadi.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sejak bertahun-tahun yang lalu menganjurkan berkebun di bandar yang bebas daripada racun makhluk perosak kepada orang ramai. Kami mengadakan program latihan dengan kerap mengenai amalan berkebun secara holistik dan maklum balas daripada orang ramai terhadap perkara ini amat menggalakkan. Kini kami merasa amat gembira untuk melihat semakin ramai rakyat Malaysia menceburkan diri dengan amalan yang amat bermanfaat ini – dengan hasil yang baik dan memuaskan.
Kami menemu bual beberapa orang penghuni bandar yang berjaya menggabungkan nasihat dan panduan pertanian kami dalam memelihara kebun dan halaman belakang mereka. Bermula hari ini kami akan memuatkan 5 siri temu bual dengan orang biasa yang bertukar menjadi pekebun bandar yang penuh bersemangat. Bacalah mengenai bagaimana mereka menanam makanan yang sihat, bagaimana menanam tanaman meningkatkan kesejahteraan mereka dalam kehidupan seharian, membina hubungan dengan komuniti, dan berhubung dengan bumi.
#GreenActionWeek Agroecology Fund