Pemberian diskaun bagi saman yang tertunggak boleh memberikan tanggapan yang salah mengenai perbuatan melanggar undang-undang… kerana ia boleh dikatakan menguntungkan, sekurang-kurangnya di Malaysia. Misalnya, media melaporkan sebuah syarikat milik persendirian telah membayar saman yang tertunggak berjumlah RM500,000 selepas diberi diskaun 70 peratus berikutan kemurahan hati kerajaan.
Sekiranya 30 peratus dari saman berkenaan berjumlah RM0.5 juta, bermakna jumlah sebenar saman yang dikenakan adalah RM1.7 juta! Jika, katakanlah setiap saman bernilai RM300, ini bermakna syarikat itu telah mengumpulkan 5,500 saman. Sudah berapa lama syarikat terbabit tidak membayar samannya atau berapa banyak kenderaan yang dimilikinya? Jika ia belum melunaskannya, bagaimanakah kenderaan miliknya membaharui cukai jalan dan insurans? Perkara ini agak membingungkan dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin tahu bagaimana pihak berkuasa begitu berbangga dengan ‘pencapaian’ mereka memungut RM1.6 juta dan bukannya RM5.3 juta daripada sejumlah 21,476 saman yang dikenakan.
Pemberian diskaun ‘bermusim’ seperti itu memberikan gambaran kepada pengguna kenderaan bahawa mereka boleh terus melanggar undang-undang dan kemudian mendapat ganjaran melalui pemberian diskaun yang besar. Padahal matlamat utama pengenaan denda ialah sebagai langkah penghalang dan alasan kenapa hukuman penjara ditambah jika kesalahan berulang. Tetapi di Malaysia pemberian diskaun turut menggalakkan orang ramai mengumpulkan denda mereka dan menunggu sehingga terdapat “tawaran bermusim” di mana mereka yang melanggar peraturan lalu lintas boleh menjimatkan wang mereka.
Sehubungan itu, kami mendesak kerajaan agar tidak melemahkan langkah undang-undang yang menghukum pengguna kenderaan yang tidak bertanggungjawab, semata-mata untuk menyenangkan mereka. Jika mereka tidak membayar denda yang dikenakan, mereka sudah pun melanggar undang-undang, justeru perlu dihukum. Mereka tidak seharusnya dibenarkan memperbaharui cukai jalan dan insurans, terutama apabila segalanya perlu dikongsi atas talian oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Tambahan pula, pengguna kenderaan yang secara terang-terangan melanggar undang-undang perlu dianggap berbahaya kepada pengguna jalan raya. Sikap murah hati tidak akan melahirkan pemandu yang baik tetapi sebaliknya menggalakkan pemandu yang baik bertukar menjadi buruk kerana tawaran diskaun bagi saman tidak memberi insentif kepada pemandu yang patuh.
Surat kepada Pengarang, 22 September 2020