CAP BIMBANG MASALAH HAKISAN PANTAI DI MELAKA SEMAKIN SERIUS

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Melaka menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin serius berlaku di negeri ini.

Kejadian tersebut bukan saja mengancam alam semula jadi di kawasan terbabit malah turut menjejaskan aktiviti harian nelayan.

Dalam tinjauan yang dijalankan di Pantai Puteri, Tanjung Keling CAP mendapati lebih kurang 500 meter pantai tersebut telah terhakis manakala di Tanjung Dahan dekat Kuala Linggi pula 300 meter kawasan pantai di sini turut menghadapi hakisan.

Berpuluh batang pokok di persisiran pantai telah tumbang dan beberapa bangsal nelayan telah mengalami kerosakan diancam masalah hakisan pantai. CAP bimbang kerana kejadian yang berlaku di kedua-dua kawasan berkenaan semakin hari semakin hampir dengan jalan dan rumah penduduk.  Tindakan segera perlu diambil untuk menghentikannya.

Keadaan yang berlaku sejak enam bulan yang lalu itu menimbulkan keresahan dalam kalangan nelayan terbabit kerana ranting pokok yang tumbang dan sisa kayu yang hanyut ke laut kerap tersangkut pada pukat mereka.

Kira-kira 200 nelayan di sini juga sukar untuk melabuhkan perahu kerana kawasan pantai yang terhakis telah runtuh dan menjadi curam. Mereka terpaksa menolak atau menarik bot dengan menggunakan takal setiap kali pulang dari laut.

CAP percaya jika masalah ini dibiarkan kesan yang lebih buruk akan berlaku pada masa akan datang. Hakisan pantai boleh merebak dengan meluas dan kemusnahan alam sekitar serta jumlah kerosakan harta benda pasti akan bertambah.

Justeru, CAP berharap kerajaan Melaka, jabatan dan agensi berkaitan menjalankan kajian apakah punca masalah ini berlaku. Fokus utama perlu diberikan kepada aktiviti penambakan laut dan laluan kapal-kapal dagang yang mungkin menjadi penyebab berlakunya masalah hakisan di negeri ini.

Selain itu masalah mendapan lumpur dan kawasan tangkapan nelayan tempatan yang menjadi sempit dan menjejaskan kehidupan mereka harus ditangani segera. CAP kesal walau pun keluhan nelayan di negeri ini sudah berlarutan sejak sekian lama namun hingga sekarang belum mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berwajib.

CAP meminta kerajaan negeri Melaka mendedahkan kepada umum hasil kajian punca masalah tersebut dan langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

 

Kenyataan Media, 17 September 2020