Cadangan SAM lanjutan daripada titah Pemangku Raja Pahang mengenai isu alam sekitar di Tasik Chini, Pahang

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan titah Kebawah DYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar semua aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan dan kawasan bekas lombong dipulihkan semula dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian.

SAM juga mengalu-alukan titah Baginda agar Hutan Simpan Chini (HS Chini) sedia ada seluas 4,600 hektar diluaskan kepada kira-kira 6,000 – 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna.

Cadangan ini perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi melindungi ekosistem keseluruhan kawasan ini serta menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli di kawasan Tasik Chini dan persekitarannya yang bergantung kepada sumber hutan di sini.

Bagi memastikan HS Chini dan kawasan yang diluaskan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) tidak dieksploitasi serta dilindungi sepenuhnya, SAM mencadangkan keseluruhan hutan simpan tersebut diwartakan pengelasannya sebagai Hutan Perlindungan di bawah Seksyen 10(1)(b – l) (mana-mana yang bersesuaian), Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

SAM berharap di atas keprihatinan Baginda dan Kerajaan Negeri, pengisytiharan Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) akan dikekalkan.  

 

Kenyataan Media, 15 Jun 2021