CAP: Ambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab membeli ventilator yang rosak

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab membeli ventilator rosak* yang diperoleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa pandemik Covid-19.

Semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada 2020, Kabinet dimaklumkan mengenai keperluan bagi 800 ventilator, berikutan itu Kementerian Kesihatan telah meluluskan RM30 juta kepada sebuah syarikat untuk membeli 500 unit ventilator.

Disebabkan kekangan bekalan, syarikat itu berjaya memperoleh hanya 136 unit ventilator pada harga RM20.12 juta, harga yang dilaporkan empat kali lebih tinggi daripada kadar biasa. Bagaimanapun didapati 104 daripada 136 ventilator yang dibeli tidak boleh digunakan.

Pada awal bulan ini dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa tiada tindakan boleh diambil ke atas isu itu kerana ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan syarikat terbabit.

PAC gagal dalam tugasnya untuk mendedahkan mereka yang bertanggungjawab bagi pembelian ventilator yang tidak boleh digunakan. Alasannya bahawa tiada kontrak bertulis rasmi adalah tidak boleh diterima.

Mestilah terdapat bukti dokumentari dan lisan mengenai proses yang membawa kepada pembelian ventilator yang rosak yang akan mendedahkan jika terdapat sebarang kecuaian yang teruk, atau bahkan rasuah, di pihak mereka yang terlibat dalam membuat keputusan.

PAC sepatutnya mengesyorkan agar agensi penguatkuasaan undang-undang menyiasat kes itu dan mengambil tindakan yang perlu terhadap mereka yang bersalah.

Memandangkan peralatan menyelamatkan nyawa seperti ventilator sangat penting semasa pandemik Covid-19, adalah mengejutkan bahawa kecuaian sedemikian telah berlaku. Ventilator yang rosak itu bukan sahaja membazirkan dana awam tetapi juga membahayakan nyawa pesakit.

Laporan PAC mengatakan bahawa budaya akauntabiliti hampir tidak wujud dalam sistem perolehan awam di mana 104 daripada 136 ventilator yang ditempah tidak dapat digunakan. Urus niaga mengenai perolehan kecemasan ventilator dilakukan melalui WhatsApp.

Walaupun dalam menghadapi pandemik, pengesahan perolehan rasmi perlu melalui kontrak pembekalan yang betul dengan spesifikasi produk yang jelas, jaminan, kewajipan pembekal terhadap ujian dan pentauliahan, penghantaran dan sokongan teknikal. Perolehan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan, syarikat itu diarah membuat bayaran pendahuluan bagi ventilator berikutan hubungan sedia ada dengan KKM. Perjanjian itu diperoleh berdasarkan gambaran visual bahawa ventilator dalam risalah itu memenuhi keperluan KKM.

Menurut laporan PAC, ventilator itu tidak boleh digunakan kerana titik palam berbeza daripada titik palam yang digunakan di Malaysia. Bagaimanapun, setiap ventilator mempunyai masalah yang berbeza dari segi perkakasan, aksesori dan perisian. Perolehan itu melibatkan 11 model ventilator daripada empat pengeluar berbeza.

Sungguh mengejutkan apabila KKM telah melantik syarikat itu menjadi orang tengah untuk membekalkan 136 ventilator berharga RM24.1 juta tanpa kontrak yang sewajarnya. Apa yang berlaku kepada unit integriti dan pematuhan dalam Kementerian Kesihatan, yang diperlukan untuk mengawasi semua pembelian, apabila prosedur yang ditetapkan tidak dipatuhi dalam pembelian ventilator.

CAP percaya bahawa lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk menuntut akauntabiliti daripada mereka yang bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam tugas mereka. Pihak berbeza yang bertanggungjawab atas “kecuaian yang jelas” dalam skandal ventilator yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara mestilah dikenal pasti dan dihukum.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar,  6  Disember 2023

 

*Ventilator perubatan ialah mesin yang membantu paru-paru untuk mendapatkan keperluan oksigennya. Ia adalah mesin penyelamat nyawa dalam keadaan yang menyukarkan seseorang untuk bernafas dengan betul seperti dalam kes pesakit Covid-19.