
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab membuang dan membakar bahan buangan di Pulau Jerejak, Pulau Pinang.
Tindakan tersebut bukan saja menyalahi undang-undang tetapi juga mencemarkan alam sekitar di kawasan berkenaan.
CAP telah menerima aduan daripada nelayan tempatan bahawa perbuatan tersebut telah lama berlaku tetapi tidak ada mana-mana pihak mengambil tindakan bagi mencegahnya daripada berterusan.
CAP difahamkan kemungkinan pihak yang bertindak sedemikian adalah kalangan pengusaha ternakan ikan dalam sangkar yang beroperasi berhampiran pulau tersebut.
Selain itu pihak tersebut juga membuang bahan yang sama terutama plastik ke dalam laut sehingga menjejaskan aktiviti tangkapan nelayan tempatan.
Nelayan-nelayan di sini bukan saja terganggu oleh sangkar ikan yang semakin bertambah di kawasan itu tetapi juga terancam dengan sisa plastik yang dibuang ke dalam laut di sini. Selain kipas bot mengalami kerosakan, pukat mereka juga dilekati oleh berbagai jenis bahan buangan.
Berhubung masalah ini CAP menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
CAP bimbang jika masalah ini dibiarkan ia bukan saja boleh mencemarkan alam sekitar dengan lebih serius lagi tetapi juga akan mengancam hidupan marin dan keselamatan nelayan tempatan pada masa akan datang.
CAP juga meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan mengenai kejadian ini kepada umum dan tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang dikenal pasti melakukan perbuatan tersebut.
Kenyataan Akhbar, 5 Mei 2021