Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil tindakan segera membanteras aktiviti pencerobohan bot pukat Apollo di perairan Seberang Perai dan Pulau Pinang yang semakin serius berlaku ketika ini.
Berikutan masalah itu lebih 500 nelayan pantai yang terlibat terjejas pendapatan melebihi 50% setiap kali turun ke laut kerana ikan, udang dan ketam yang menjadi sumber tangkapan utama semakin pupus.
Dalam tinjauan yang dibuat nelayan-nelayan di sini memberitahu CAP bahawa bot pukat apollo yang berpangkalan di Perak itu sering menceroboh pada waktu malam dengan menjadikan kawasan 0.5 batu nautika dari pantai senagai tempat mereka beroperasi.
Antara nelayan pantai yang menjadi mangsa aktiviti bot pukat apollo ini ialah dari Kuala Juru, Sungai Haji Din, Sungai Belanak dan Pantai Jerjak.
Selain hasil tangkapan merosot teruk, nelayan pantai terbabit juga turut mengalami kerugian kerana pukat mereka rosak dilanda oleh bot-bot pukat apollo berkenaan. Ada kalangan nelayan terbabit terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menyara kehidupan keluarga akibat terputus mata pencarian.
CAP kesal dengan kejadian ini dan bersimpati dengan mereka yang sejak sekian lama menghadapi kesusahan kerana masalah tersebut. Justeru, CAP meminta jabatan dan agensi berkaitan bertindak segera bagi menanganinya.
Masalah ini telah berlaku sejak lebih 30 tahun yang lalu dan telah dibantah oleh ribuan nelayan pantai di Perak dan Pulau Pinang sebelum ini kerana ia memberi kesan buruk ke atas sumber perikanan dan kehidupan mereka tetapi malangnya sehingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan.
Kenyataan Akhbar/Media, 6 Mei 2021