Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Johor dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi membenteras aktiviti penerokaan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) secara haram di negeri ini agar tidak berterusan.
CAP kesal dengan kejadian tersebut di mana lebih 10 kawasan HSK di negeri ini telah dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa oleh JPNJ mempergunakan Orang Asli untuk tujuan projek komersial.
CAP merasa hairan dan mempersoalkan bagaimana masalah ini boleh berlaku sejak sekian lama tanpa dikesan oleh pihak berkuasa berkenaan sehingga jumlah kawasan HSK begitu luas terlibat dengan aktiviti haram itu.
Jika keadaan ini tidak ditangani segera CAP percaya ia bukan saja boleh mengancam alam sekitar dengan lebih serius lagi malah berbagai spesies flora dan fauna mungkin pupus pada masa akan datang sekali gus memusnahkan hasil hutan yang menjadi sumber mata pencarian dan kehidupan Orang Asli di sini.
CAP meminta kerajaan negeri, JPNJ, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengambil tindakan tegas serta menguatkuasakan Akta Perhutanan Negara 1984 dengan berkesan. Pemantauan yang kerap perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang.
Mengulas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk meletakkan kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah Sultanate Land supaya tidak ada pihak yang boleh berbuat sesuka hati ke atas tanah komuniti itu, CAP berpendapat, cadangan tersebut bukannya jalan penyelesaian sebenar kerana sudah wujud beberapa akta bertujuan menjaga HSK dan hak Orang Asli di negeri ini.
Aktiviti penerokaan HSK secara haram ini mungkin berpunca dari kekurangan pemantauan dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan ia perlu dipertingkatkan dan dikuatkuasakan dengan tegas oleh pihak kerajaan.
CAP menyokong pandangan Pengerusi Pertubuhan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) Dolah Tekoi, bahawa rizab Orang Asli Johor tidak perlu ditukar di bawah Enakmen Tanah Sultan kerana perizaban itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan semua negeri di negara ini di mana kawasan dan rizab Orang Asli dilindungi di bawah Akta Orang Asli 1954 dan Kanun Tanah Negara.
JPOAJ bersama 90 wakil dari beberapa buah kampung Orang Asli yang bermesyuarat baru-baru ini telah membuat keputusan membantah cadangan penukaran tanah Orang Asli menjadi tanah kesultanan. Memorandum bantahan tersebut akan dihantar kepada kerajaan Johor dan JAKOA dalam masa terdekat.
CAP turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap isu ini dan mengambil tindakan ke atas dalang atau pihak luar yang dikenal pasti ada kaitan dengan aktiviti haram tersebut serta mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil kepada orang ramai.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 17 April 2023