14 November adalah Hari Diabetes Sedunia. Sejak ia dilancarkan oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1991 ia menjadi kempen kesedaran utama komuniti diabetes global.
Tema tahun ini, “Memecah Halangan, Merapatkan Jurang,” menekankan kepentingan untuk mengurangkan risiko diabetes, dan memastikan bahawa semua mereka yang didiagnosis menghidap diabetes mendapat akses kepada rawatan dan penjagaan yang saksama, komprehensif, berpatutan dan berkualiti.
Setiap tahun pada tarikh ini Kementerian Kesihatan melancarkan kempen untuk mewujudkan kesedaran mengenai kesan diabetes. Walaupun begitu, kelaziman diabetes mellitus di Malaysia, terutamanya jenis 2, telah meningkat kepada kadar wabak.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 hampir 2.3 juta orang dewasa di negara ini hidup dengan empat penyakit tidak berjangkit (NCD) utama iaitu diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti. Diabetes dikenal pasti sebagai salah satu penyakit pembunuh utama di Malaysia.
Laporan itu juga menyatakan hampir 3.6 juta atau satu daripada enam orang dewasa (15.6 peratus) menghidap diabetes. Apa yang mengejutkan, 84 peratus orang dewasa berumur 18-29 tahun yang menghidap diabetes tidak mengetahui bahawa mereka menghidap diabetes. Ia juga dilaporkan bahawa orang dewasa muda juga terjejas.
Orang dewasa Malaysia juga semakin gemuk dengan peningkatan kadar obesiti sebanyak 54.4 peratus. Dilaporkan juga bahawa trend berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan orang dewasa di Malaysia meningkat 10 peratus dalam satu dekad. Dengan kadar obesiti sebanyak 54.4 peratus, sebahagian besar penduduk berada pada peningkatan risiko untuk menghidap diabetes.
Gaya hidup yang banyak duduk atau tidak aktif adalah salah satu punca peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan dan obes. Menurut pakar, “fenomena lemak” di negara kita boleh dikaitkan dengan gabungan tabiat pemakanan yang buruk, diet tinggi kalori, dan penurunan dalam aktiviti fizikal, mengakibatkan pengambilan kalori lebih daripada yang diperlukan oleh tubuh.
Selain itu, lebih banyak makanan yang dimakan adalah dari luar rumah, hidangan makanan bersama keluarga yang lebih sedikit dan saiz bahagian yang lebih besar juga mungkin menyumbang kepada berat badan berlebihan. Tambahan pula, ledakan dalam peranti hiburan mudah alih dan terlalu banyak masa dihabiskan melihat skrin turut menyumbang kepada gaya hidup yang tidak aktif.
Kadar kelaziman diabetes di Malaysia telah meningkat dengan lebih cepat berbanding jangkaan, hampir dua kali ganda dalam tempoh sejak sedekad yang lalu. Diabetes bukan sahaja menjejaskan sumber negara, tetapi juga anggota badan (amputasi), penglihatan (buta), buah pinggang (kegagalan), jantung (kegagalan) dan saraf (kerosakan) penghidapnya.
Diabetes adalah penyakit kronik yang boleh dicegah dan bagi mereka yang terjejas, diabetes boleh diuruskan untuk melambatkan atau mencegah komplikasinya dengan mengekalkan gaya hidup sihat dan membuat pilihan yang lebih baik dalam diet mereka.
Memandangkan kadar diabetes yang membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa untuk:
- Mengharamkan penggunaan Sirap Jagung Fruktosa Tinggi (HFCS), pengganti gula bertapis yang murah dan tidak sihat, dalam produk makanan.
- Meminda undang-undang pelabelan untuk memastikan pengilang menukar label mereka untuk menunjukkan dengan jelas jumlah gula dalam makanan mereka dengan menunjukkan bilangan sudu teh gula dalam makanan mereka.
- Menghentikan iklan makanan dan minuman ringan bergula tinggi dan lain-lain di televisyen.
- Haramkan penjualan makanan ringan di kantin sekolah dan menjaja makanan dalam kawasan yang ditetapkan di sekitar sekolah supaya murid sekolah tidak terdorong untuk membeli makanan yang tidak sihat.
- Memulakan usaha untuk menyingkirkan mesin layan diri yang mengeluarkan makanan ringan dan minuman manis dari kawasan seperti hospital, lapangan terbang dan sekolah. Sebaliknya sediakan air minuman dalam dispenser air di tempat-tempat ini.
- Melancarkan kempen secara besar-besaran di media massa untuk mendidik orang ramai mengenai bahaya diabetes.
- Melancarkan kempen besar-besaran untuk menggalakkan pengguna melibatkan diri dalam aktiviti fizikal bagi mengelakkan obesiti.
- Hentikan daripada mengeluarkan lesen 24 jam kepada kedai makan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 13 November 2024