Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong sepenuhnya pertimbangan kerajaan untuk mewujudkan cukai soda dalam usaha mengurangkan pengambilan minuman manis demi menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat. Namun agar konsisten ke arah ini, harga gula tidak seharusnya diturunkan atau subsidi gula tidak seharusnya diperkenalkan semula. Cukai soda perlu dilaksanakan ke atas semua jenis minuman manis.
Hasil yang diperolehi daripada cukai soda berkenaan seharusnya disalurkan ke arah menggalakkan kesihatan untuk mendidik pengguna mengenai gaya hidup sihat. Ketika cukai soda diumumkan di United Kingdom, kerajaan komited untuk menyerahkan hasil daripada cukai tersebut untuk membiayai sukan dan pendidikan jasmani di sekolah rendah dengan menggalakkan aktiviti fizikal. Di Mexico, cukai soda disertakan dengan kempen mendidik orang awam yang efektif. Usaha ini berjaya membuahkan hasil di mana ia membawa kepada penurunan sebanyak 5.5% dalam penjualan minuman manis dalam tahun pertama selepas cukai itu diperkenalkan dan 9.7% penurunan dalam tahun kedua.
Tidak diragukan lagi, gula merupakan penambah paling memudaratkan dalam makanan. Ia menjadi satu-satunya bahan ramuan yang dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit. Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa, seiring dengan pertambahan pengambilan gula perkapita di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan, kelaziman kes diabetes turut meningkat dengan pantas. Kajian terkini menunjukkan gula turut menyumbang keapda penyakit jantung, strok dan sesetengah jenis kanser.
Pengenaan cukai bersama promosi kesihatan yang agresif akan membuahkan kesihatan yang lebih baik bagi warga Malaysia.
Kenyataan Akhbar/Surat kpd Pengarang,29 Ogos 2018