Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menyerahkan memorandum pada 14 Januari 2026 kepada Perdana Menteri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Jabatan Biokeselamatan Malaysia, dan ahli Lembaga Racun Makhluk Perosak, menggesa dengan segera bagi mengharamkan glifosat dan racun herba berasaskan glifosat di Malaysia.
Penyerahan memorandum ini bukanlah satu kebimbangan yang baharu. CAP telah menyerahkan memorandum pada tahun 2020 menggesa pengharaman glifosat kerana risiko yang ditimbulkan oleh racun herba ini. Namun dalam masa enam tahun ini, glifosat terus digunakan di Malaysia, sebahagian besarnya kerana pihak berkuasa bergantung pada penilaian keselamatan yang dikemukakan sebagai bukti muktamad.
Di tengah-tengah pergantungan ini ialah suatu laporan yang mana pengawal selia di seluruh dunia termasuk Malaysia gunakan untuk mempertahankan glifosat yang didakwa “selamat”. Kertas ini telah didedahkan sebagai dikompromi secara asasnya, ditulis oleh orang dalam industri, dibentuk oleh konflik kepentingan yang tidak didedahkan, serta dimanipulasi dan membentang data saintifik yang terpilih, termasuk kajian kekarsinogenan utama sama ada disalah nyatakan atau tidak dimasukkan.
Laporan itu telah ditarik balik pada Disember 2025, dengan ini menjejaskan kredibiliti kelulusan yang berdasarkan kepadanya. Sekiranya isu etika dan saintifik kajian dikenal pasti lebih awal, glifosat mungkin menghadapi peraturan yang lebih ketat atau pengharaman sepenuhnya dengan lebih awal. Rasa keselamatan yang salah ini melambatkan penelitian yang betul dan membenarkan penggunaan racun herba secara meluas.
Kajian bebas semakin banyak mengaitkan pendedahan glifosat kepada risiko kesihatan yang serius, termasuk kemungkinan kanser, terutamanya Limfoma Bukan-Hodgkin serta genotoxicity, gangguan endokrin, tekanan oksidatif, kerosakan mikrobiom usus dan ketoksikan hati dan buah pinggang. Kes keracunan yang didokumenkan menunjukkan pekerja pertanian terjejas dan dalam beberapa keadaan termasuk juga kanak-kanak. Pada tahun 2015 Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) mengklasifikasikan glifosat sebagai berkemungkinan karsinogen kepada manusia.
Perkara yang membimbangkan ialah Malaysia telah meluluskan lebih daripada 20 makanan ubah suai genetik (GM) tahan glifosat untuk diimport dan penggunaan yang membolehkan sisa glifosat memasuki bekalan makanan negara secara langsung. Bukti antarabangsa menunjukkan bahawa rangka kerja kawal selia semasa sangat memandang rendah pendedahan dunia sebenar, kesan kumulatif dan risiko kesihatan jangka panjang yang ditimbulkan kepada pengguna.
Ujian produk kacang soya yang dijual di Sarawak mendapati pencemaran GM tauhu, tempe, makanan haiwan dan kacang soya mentah (dua sampel dilabelkan sebagai bebas GMO). Sejumlah 57 daripada 65 sampel termasuk 17 kacang soya, 12 makanan haiwan, 7 tauhu dan 20 sampel tempe diuji positif bagi gen rintangan racun herba glifosat, yang memberikan sifat GMO yang paling biasa.
Ancaman glifosat melangkaui kesihatan manusia. Glifosat telah terbukti merosakkan kesuburan tanah, membahayakan pendebunga dan amfibia, mencemarkan sumber air, dan menghakis biodiversiti.
Memandangkan bukti saintifik mengenai bahaya yang ditimbulkan oleh glifosat dan racun herba berasaskan glifosat kepada kesihatan manusia dan alam sekitar serta penarikan balik laporan tersebut, CAP menggesa kerajaan Malaysia untuk mengenakan pengharaman sepenuhnya terhadap glifosat dan racun herba berasaskan glifosat. Kami juga menggesa Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan untuk membatalkan semua kelulusan bagi makanan GM tahan glifosat yang diimport bagi tujuan makanan, makanan haiwan dan pemprosesan.
Dengan pengharaman dan sekatan antarabangsa yang semakin meningkat, pelanggaran etika yang jelas, dan bukti saintifik yang meyakinkan mengenai bahayanya, pergantungan berterusan kepada glifosat adalah tidak wajar. Tindakan pengawalseliaan segera adalah perlu untuk melindungi kesihatan awam, melindungi alam sekitar, dan memastikan keselamatan generasi akan datang. Sektor pertanian sepatutnya beralih daripada penggunaan racun herba yang beracun dan sebaliknya menumpukan kepada penggunaan kaedah pertanian asli yang lebih selamat.
Klik di sini untuk versi PDF:
https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2026/01/260114-CAP-Memorandum_Ban-glyphosate.pdf
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 27 Januari 2026


