CAP gesa kelulusan Projek Perlombongan di kaji semula

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Perak mengkaji semula kelulusan yang diberikan kepada syarikat perlombongan di Air Kuning, Kampung Gajah dekat Pasir Salak berikutan bantahan oleh penduduk-penduduk kampung berkenaan terhadap projek ini.

Tindakan itu dilakukan kerana tidak berpuas hati setelah tempat mereka mencari rezeki terjejas sejak dua bulan lalu akibat aktiviti tersebut.

Mengulas laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 28 Oktober 2021, CAP bersimpati dengan penduduk-penduduk di sini dan bimbang jika aktiviti itu diteruskan ia bukan saja boleh menjejaskan sumber pendapatan mereka dengan lebih serius lagi tetapi juga alam sekitar di kawasan itu.

CAP hairan bagaimana aktiviti perlombongan yang sudah berhenti sejak 1996 diluluskan semula tanpa mengambil kira kesannya ke atas kehidupan penduduk tempatan termasuk masyarakat Orang Asli di sini.

Berikutan aktiviti tersebut telah menyebabkan pendapatan 80 nelayan darat terjejas kerana dilarang memasuki kawasan berkenaan. Sebelum ini mereka memperolehi hasil tangkapan sebanyak RM100 sehari tetapi sekarang hanya RM30 saja sehari.

Penduduk yang terlibat mendakwa, selepas tahun 1996 mereka pernah beberapa kali memohon kebenaran dari Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah untuk meneroka bekas tapak lombong ini tetapi ditolak dengan alasan kawasan tersebut merupakan rizab Pulau Burung.

Mereka kecewa kerana permohonan itu  ditolak sebaliknya kawasan yang dikatakan rizab Pulau Burung telah diberikan kepada syarikat perlombongan.

Sehubungan itu CAP meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk jabatan serta agensi berkaitan menyiasat masalah ini dengan segera.

Tindakan tegas perlu diambil jika didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang dan CAP berharap kerajaan Perak memberi keutamaan kepada masalah penduduk dan aktiviti pertanian serta perikanan yang menyumbang bekalan makanan untuk keperluan penguna dari kerja-kerja perlombongan yang boleh merosakkan alam sekitar negeri ini.

CAP percaya jika keadaan ini berlarutan penduduk-penduduk yang terlibat mungkin terputus mata pencarian pada masa akan datang sekali gus menjejaskan kehidupan keluarga mereka.

 

Kenyataan Media, 29 Oktober 2021