CAP GESA MASALAH PEKEBUN SAYUR DI PERMATANG PAUH DITANGANI SEGERA

Beginilah kerosakan yang berlaku ke atas tanaman sayuran yang diancam banjir.

Kira-kira 40 pekebun sayur di Kampung Pertama, Permatang Pauh daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Pulau Pinang telah mengalami kerugian ribuan ringgit kerana kebun sayur  mereka kerap dilanda banjir sejak lebih 30 tahun yang lalu.

Walau pun masalah ini telah lama berlaku dan banyak aduan telah dikemukakan kepada pihak berkenaan namun hingga kini tidak ada tindakan yang diambil bagi mengatasinya.

Dalam tinjauan yang dibuat, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) difahamkan oleh penanam sayur yang terlibat bahawa pada tahun ini sebanyak 10 kali kawasan kebun sayur mereka dilanda masalah itu.

Berikutan kejadian tersebut beberapa jenis sayur yang ditanam termasuk sawi, bendi, bayam serta kangkong telah rosak dan tidak boleh dijual sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Seorang pekebun sayur menunjukkan kawasan tanamannya yang sering dilanda banjir.

Penanam sayur di sini memberitahu CAP punca kejadian itu ialah sistem saliran di kawasan tersebut tidak berfungsi kerana pintu air tidak dibuka menyebabkan pengaliran air hujan tersekat dan bertakung.

Justeru, CAP menggesa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian menyiasat punca sebenar kejadian ini di samping mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

Pekebun sayur sedang membaik pulih kawasan kebun sayur yang dilanda banjir.

CAP percaya jika masalah tersebut berlarutan kerosakan tanaman akan terus berlaku dan para pekebun sayur di sini akan terjejas sumber pendapatan mereka dengan lebih serius pada masa akan datang.

CAP turut bimbang pengeluaran hasil tanaman sayuran yang terjejas di kawasan itu akan memberi kesan kepada peningkatan harga bahan tersebut di pasaran tempatan dan membebankan para pengguna.

Demi mengekalkan sumber bekalan makanan ini bagi keperluan penduduk tempatan dan kawasan berhampiran, CAP berharap tindakan berkesan diambil oleh pihak berkenaan membantu pekebun-pekebun yang terlibat meneruskan aktiviti mereka.

 

Kenyataan Media, 10 Disember 2021