Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan segera membersihkan bahan buangan yang mencemarkan Sungai Muda dekat Permatang Bendahari daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini.
Tinjauan CAP mendapati timbunan bahan tersebut terutama bekas plastik terapung di permukaan sungai ini menyebabkan persekitaran tempat itu kelihatan kotor.
CAP kesal kerana Sungai Muda merupakan sumber utama bekalan air bagi kegunaan penduduk-penduduk di negeri Kedah dan Pulau Pinang. Jika keadaan ini berterusan ia bukan saja boleh menjejaskan kualiti air sungai tersebut tetapi juga menjadi tempat nyamuk membiak yang boleh mencetuskan wabak penyakit.
Amat membimbangkan CAP jika sisa buangan tersebut mengandungi toksik ia pasti memberi kesan lebih buruk ke atas alam sekitar, hidupan sungai dan laut serta kesihatan manusia.
CAP percaya jika bahan buangan ini dibiarkan ia akan turut mencemarkan pantai dan laut berhampiran sekali gus mengganggu aktiviti nelayan serta menjejaskan mata pencarian mereka.
Justeru itu CAP berharap pihak yang bertanggungjawab menjalankan siasatan dan memberi perhatian serius terhadap masalah ini di samping mengambil tindakan berkesan agar kejadian serupa tidak berulang.
Pemantauan yang berterusan perlu dilakukan dan tindakan undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan tegas tanpa memberi pertimbangan kepada mereka yang melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah akta yang sedia ada.
CAP meminta supaya bahan pencemar ini dilupuskan di kawasan yang selamat daripada sebarang ancaman ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan. Pihak berkenaan juga perlu mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil terhadap masalah ini kepada umum.
Kenyataan Media, 9 Disember 2021