CAP gesa masalah penduduk Kampung Gunung Bongsu ditangani segera

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jabatan dan agensi yang terlibat mengambil tindakan segera menangani masalah tanah yang dihadapi 61 penduduk Kampung Gunung Bongsu, daerah Kulim di sini.

CAP kesal dan bersimpati dengan mereka yang terlibat kerana usaha-usaha bagi mendapatkan geran tanah seluas lebih kurang 200 ekar sebelum ini gagal dan tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berkenaan sehingga keadaan itu menjadi semakin meruncing.

Pokok getah yang ditanam oleh penduduk Kampung Gunung Bongsu terbiar tanpa hasil.

Setelah meneroka tanah serta mengeluarkan perbelanjaan yang besar, kehidupan penduduk-penduduk yang terlibat sekarang semakin tertekan kerana sumber pendapatan mereka teruk terjejas.

Hasil pertanian seperti getah, kelapa sawit dan beberapa jenis tanaman lain yang diusahakan sejak tahun 1984 tidak dapat dinikmati kerana mereka dilarang memasuki tanah yang dikatakan milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Gunung Bongsu.

CAP meminta pihak berkenaan menjalankan siasatan dan bertemu penduduk disini bagi mendapatkan maklumat terperinci disamping mempertimbangkan permohonan mereka  mendapatkan hak milik tanah setelah perkara itu telah lama terabai.

Berikutan surat aduan yang diterima dari Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Gunung Bongsu pada 2 Februari 2023  mengenai masalah ini, Pada 24 Februari 2023 CAP telah menghantar surat kepada kerajaan Kedah dan Felda ingin mengetahui apakah tindakan yang telah diambil oleh mereka.

Seorang penduduk Kampung Gunung Bongsu menunjukkan kawasan tanaman kelapa sawit yang diusahakannya.

Pada 6 March 2023 CAP difahamkan oleh Felda negeri Kedah bahawa Felda bersama Pejabat Tanah dan Daerah Kulim sedang dalam proses siasatan dan tindakan terhadap aduan serta permohonan hak milik yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk kampung ini.

CAP berharap kerajaan Kedah, PBT, jabatan yang terlibat dan Felda mendedahkan kepada umum hasil siasatan yang dibuat dan tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah ini.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 13 March 2023