Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut apabila Ahli Parlimen Langkawi Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah menggesa kerajaan supaya membenarkan penjualan rokok bebas cukai.
Beliau tidak berpandangan jauh untuk mendorong idea ini kerana merokok diketahui sebagai penyumbang kepada kematian dan punca banyak penyakit tidak berjangkit termasuk kanser, penyakit kardiovaskular, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), dan komplikasi kehamilan. Ia membunuh kira-kira 28,670 rakyat Malaysia setiap tahun.
Penggunaan tembakau juga menimbulkan beban ekonomi yang berat kepada masyarakat dan kerajaan melalui peningkatan kos penjagaan kesihatan serta kehilangan produktiviti manusia (seperti cuti sakit, kemasukan ke hospital atau kematian).
Pada 2012, Malaysia menanggung RM15.8 bilion ke atas kos ekonomi langsung dan tidak langsung untuk penyakit berkaitan tembakau. Ia bersamaan dengan 1.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk tahun itu! Lebih menguntungkan rakyat jika jumlah itu dibelanjakan untuk pendidikan atau pembangunan pengangkutan awam.
Rokok bebas cukai tidak lagi dijual di Langkawi sejak 1 April 2021. Jika Mohd Suhaimi berpendapat bahawa rokok bebas cukai yang menarik pelancong ke pulau itu, dia silap besar. Bukan sahaja pengenalan semula rokok bebas cukai adalah idea yang tidak baik, ia adalah satu idea yang tidak bijaksana dan sangat bodoh.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Surat kepada Pengarang, 10 Mac 2023