CAP gesa masalah pesawah Perlis ditangani segera

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis mengambil tindakan segera dan berkesan bagi mengatasi masalah sistem saliran di kawasan sawah di lima buah kampung dekat Kangar di sini.

Langkah sedemikian amat wajar kerana ia telah menjejaskan kehidupan pesawah di kawasan berkenaan sejak sekian lama.

Antara kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Alor Banat, Kampung Teluk, Kampung Seri Gelam, Kampung Sungai Bakong dan Kampung Sena.

Mengulas laporan akhbar tempatan hari ini (Utusan Malaysia, 18 Mei 2021), kira-kira 500 pesawah di kawasan tersebut mengeluh kerana 896 hektar sawah yang mereka usahakan musnah ditenggelami air ketika hujan kerana sistem saliran di sini gagal berfungsi dengan berkesan.

Masalah ini berlaku didakwa berkaitan dengan projek pembinaan ampang yang rendah di Sungai Perlis dekat Pengkalan Asam menyebabkan air hujan berrtakung dan lambat surut.

Berikutan itu benih padi yang ditabur oleh pesawah-pesawah di sini musnah dan mereka terpaksa mengeluarkan modal yang besar bagi meneruskan aktiviti penanaman pada musim ini.

CAP kesal dan bimbang dengan kejadian tersebut kerana ini boleh menjejaskan sumber pendapatan pesawah terbabit jika punca utama masalah ini dibiarkan berlarutan.

CAP meminta pihak kerajaan membantu pesawah-pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana ini bagi meringankan beban kehidupan yang terpaksa ditanggung.

 

Kenyataan Akhbar/Media, 19 Mei 2021