CAP GESA PAHANG KAJI SEMULA KELULUSAN AKTIVITI PERLOMBONGAN BAUKSIT

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Pahang mengkaji semula kelulusan perlombongan bauksit di negeri ini kerana ia mengancam alam sekitar dan menjejaskan kehidupan penduduk tempatan.

Aktiviti tersebut yang bermula 2014 telah membuktikan terdapat banyak kelemahan oleh pihak kerajaan dalam usaha mengawal masalah yang berlaku sehingga keadaan alam sekitar dan kehidupan penduduk di negeri berkenaan menjadi begitu serius.

Mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia, 5 Mac 2021 bertajuk ‘Elak Kisah Duka’ bauksit berulang. CAP berpendapat luka lama akan berdarah kembali jika aktiviti perlombongan bijih mineral ini diteruskan.

Selain pencemaran udara yang sukar dikawal, masalah lain seperti hakisan, ancaman sisa lumpur, pencemaran sungai serta laut dan mendapan boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat dan memusnahkan harta benda penduduk termasuk hidupan air seperti ikan yang menjadi sumber pendapatan nelayan.

CAP juga turut bimbang dengan masalah kesihatan dan keselamatan penduduk di negeri ini termasuk kerosakan infrastruktur dan kemudahan awam di mana aktiviti ini beroperasi.

Peristiwa yang berlaku di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng enam tahun lalu perlu dijadikan contoh bagaimana kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang yang ada telah gagal mengatasi beberapa kejadian yang melibatkan alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan akibat aktiviti tersebut walaupun kali ini dinyatakan akan diawasi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

 

Kenyataan Media, 5 Mac 2021