Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan kejadian pencemaran Sungai Ketil, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini walau pun sudah berulang kali berlaku sejak empat tahun lalu namun tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan sehingga sekarang.
Sehubungan itu, CAP menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) segera menyiasat masalah ini serta mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang bertanggungjawab mencemarkan sungai tersebut.
Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang didapati bersalah melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawahnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua‐duanya.
Mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia, 2 Mac 2021, CAP bimbang dan percaya jika keadaan ini dibiarkan berterusan ikan yang terdapat di dalam sungai tersebut akan pupus pada masa akan datang dan menjejaskan sumber pendapatan penduduk tempatan.
JAS, JPS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta membuat siasatan menyeluruh dan melakukan pemantauan secara berterusan supaya pengusaha kilang industri yang mungkin melakukan perbuatan ini tidak lagi bertindak sedemikian.
CAP turut menggesa Kerajaan Negeri Kelantan mendedahkan hasil siasatan punca pencemaran tersebut dan tindakan undang-undang yang diambil oleh pihak berkuasa ke atas mereka yang didapati bersalah melakukannya.
Kenyataan Media, 3 Mac 2021