Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf 23 – 29 Oktober 2022, sebagai Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa (ILPPW) bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan tindakan untuk menangani kesan kesihatan akibat pendedahan kepada plumbum.
Sempena minggu ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia supaya menyegerakan langkah kawal selia yang akan menghapuskan penggunaan plumbum dalam cat.
Tahun ini CAP turut menyertai Global Alliance to Eliminate Lead Paint (dirujuk di sini sebagai Alliance), program bersama WHO dan UNEP (United Nations Environment Programme) untuk Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa (ILPPW) yang menekankan keperluan segera bagi melindungi kesihatan kanak-kanak melalui tindakan untuk menghapuskan penggunaan cat berplumbum.
CAP merupakan ahli IPEN (International Pollutants Elimination Network), sebuah gabungan global yang terdiri daripada lebih 600 organisasi berkepentingan awam di lebih 125 negara yang berusaha untuk menghapuskan bahan toksik ini. IPEN ialah ahli pengasas Gabungan dan ahli Lembaga Penasihatnya.
Acara ILPPW tahun ini merupakan ulang tahun kesepuluh usaha tahunan selama seminggu bagi meningkatkan profil global mengenai ancaman keracunan plumbum yang berterusan, termasuk daripada cat berplumbum yang terus digunakan di Malaysia dan kebanyakan negara di seluruh dunia.
Sudah 30 tahun CAP menggesa kerajaan supaya mengeluarkan piawaian bagi plumbum dalam cat. Sehingga ke hari ini kami masih menemui plumbum dalam cat.
Terdapat usaha baru-baru ini oleh Jabatan Standard Malaysia untuk memasukkan spesifikasi dalam piawaian mereka bagi jenis cat tertentu yang mana bahan-bahan yang digunakan di dalam formulasi cat tidak boleh mengandungi plumbum. Walau bagaimanapun, piawaian ini adalah secara sukarela dan tidak meliputi keseluruhan rangkaian cat di pasaran.
Terdapat beberapa inisiatif yang diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada akhir 2020 untuk mengeluarkan piawaian mandatori bagi plumbum dalam cat. Bagaimanapun sehingga ke hari ini tiada berita mengenai perkembangan itu.
Sejak 2009, kumpulan ahli IPEN telah menjalankan lebih 100 kajian terhadap lebih 4,000 cat dari 59 negara termasuk Malaysia.
Dalam ujian terbaharu kami, 20 daripada 28 sampel cat hiasan enamel yang diuji didapati mengandungi plumbum. Daripada jumlah itu, 2 didapati mengandungi lebih daripada 10,000 bahagian per sejuta (bps) plumbum.
Kajian CAP mengenai plumbum dalam cat pada masa lalu mendedahkan perkara berikut:
- Pada 1992, kami mendapati 7 daripada 9 cat enamel yang diuji mengandungi plumbum melebihi 600 bps. Jumlah plumbum tertinggi dalam kajian itu ialah 11,700 bps.
- Pada 2016, kami menguji lagi 39 sampel cat hiasan enamel. 16 daripada sampel itu mengandungi jumlah kepekatan plumbum melebihi 600 bps. Daripada jumlah itu, 12 sampel mengandungi kepekatan plumbum yang berbahaya melebihi 10,000 bps. Kepekatan plumbum tertinggi yang dikesan ialah 150,000 bps.
- Pada 2019, analisis CAP mendedahkan 11 daripada 17 peralatan taman permainan mempunyai tahap plumbum yang sangat tinggi melebihi 10,000 bps.
- Pada 2020, kami menguji cat semburan. 12 daripada 48 sampel didapati mengandungi plumbum, di mana 2 sampel mempunyai plumbum melebihi 10,000 bps.
Bukti berdekad-dekad itu menunjukkan bahawa tiada tahap pendedahan yang selamat kepada plumbum. Plumbum adalah racun kuat yang menjejaskan pelbagai sistem badan dan amat berbahaya kepada kanak-kanak kecil. Malah pada dos yang rendah, plumbum boleh menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak, mengakibatkan penurunan IQ, perubahan tingkah laku seperti pengurangan tempoh perhatian dan peningkatan tingkah laku antisosial, serta penurunan dalam pencapaian pendidikan. Pendedahan plumbum juga boleh merosakkan buah pinggang, organ pembiakan, sistem imun dan mengakibatkan anemia serta hipertensi. Kesan neurologi dan tingkah laku daripada plumbum ini biasanya tidak dapat dipulihkan.
Cat mengandungi paras plumbum yang tinggi apabila pengeluar cat dengan sengaja menambah satu atau lebih sebatian plumbum pada cat bagi tujuan tertentu. Produk cat juga mungkin mengandungi beberapa jumlah plumbum apabila bahan cat yang tercemar dengan plumbum yang digunakan, atau apabila terdapatnya pencemaran silang daripada barisan produk lain di kilang yang sama. Cat berplumbum adalah sumber pendedahan yang berterusan di banyak negara.
Memandangkan bahaya plumbum dan mengambil kira bahawa penghapusan cat plumbum semakin mendapat tempat di peringkat global, CAP menggesa kerajaan Malaysia supaya menggubal dan menguatkuasakan undang-undang bagi menghapuskan plumbum dalam cat.
Malaysia tidak seharusnya merasa puas hati dengan keadaan ini. Memandangkan plumbum mempunyai kesan yang kuat dan memudaratkan kanak-kanak, tindakan segera perlu diambil bagi melindungi generasi masa depan kita.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 2 November 2022