CAP: Haramkan Penjualan Minuman Bergula di Tempat Awam

 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan penjualan minuman bergula daripada mesin layan diri di hospital, sekolah dan tempat awam lain.

Gesaan ini dibuat berikutan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Australia Barat untuk mengharamkan penjualan minuman bergula sebagai sebahagian daripada langkah untuk memerangi obesiti. Di bawah dasar ini, semua mesin layan diri dan kedai runcit termasuk kafe, kedai cenderahati dan kiosk tidak dibenarkan untuk menjual minuman manis bergula yang mempunyai nilai pemakanan yang rendah atau tiada sama sekali.

Minuman bergula ini termasuklah minuman ringan, teh ais, minuman tenaga dan sukan dan sesetengah  jus buahan, minuman berperisa dan susu.

Malaysia sepatut nya mengambil pengajaran daripada perkara ini memandangkan negara kita mempunyai kelaziman obesiti tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara. Dalam Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 50.1 peratus daripada penduduk dewasa kita dilaporkan mempunyai berat berlebihan (30.4 peratus) atauobes (19.7 peratus).

Di tengah-tengah pandemik Covid-19 ini terdapat keperluan segera untuk mengekang peningkatan kelaziman obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia. Obesiti adalah faktor risiko bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes jenis 2, penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser seperti kanser payudara, ususbesar, pankreas dan buahpinggang. Berbanding dengan individu yang mempunyai berat badan biasa, obesiti meningkatkan risiko diabetes jenis 2 tujuh kali ganda dalam kalangan lelaki dan 12 kali ganda dalam kalangan wanita.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pesakit dengan penyakit kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik, diabetes dan kanser lebih mudah terjejas untuk jatuh sakit apabila mereka dijangkiti Covid-19.

Menurut Kementerian Kesihatan, pesakit Covid-19 dengan NCD mengalami gejala lebih teruk  dengan lebih 85%  daripada mereka yang meninggal merupakan penghidap penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Individu obes mempunyai 81 peratus risiko tinggi bagi penyakit jantung dan 64 peratus untuk strok.Sebagai tambahan, penduduk Asia cenderung untuk menghidap diabetes jenis 2 dan penyakit kardiovaskular pada indek jisim tubuh (BMI) lebih rendah.

Di samping itu, kos rawatan bagi penyakit ini amat tinggi dianggarkan bagi penyakit diabetes dan kardiovaskular adalah RM70.1 bilion pada 2017, bersamaan kira-kira 5.1 peratus keluaran dalam negara kasar Malaysia pada tahun yang sama.

Kajian tempatan mendapati bahawa 30 peratus pesakit diabetes jenis 2 kita ada lah obes.Pesakit diabetes perlu mencapai seberapa banyak yang boleh matlamat rawatan ABC untuk mencegah komplikasi seperti penyakit kardiovaskular, penyakit buah pinggang, dan komplikasi pada kaki. (A untuk A1C yang menggambarkan kawalan gula darah dalam tempoh tigabulan lepas, B untuk tekanan darah dan C untuk kolesterol LDL atau kolesterol tidak sehat).

Pesakit diabetes yang obes adalah 1.5 kali lebih cenderung untuk tidak mencapai matlamat ABC berbanding pesakit dengan berat badan biasa.Pengurangan berat badan adalah strategi terbaik bagi mereka yang mempunyai berat badan berlebihan dan pesakit obes untuk memperbaiki gula darah, tekanan darah dan kawalan kolesterol.

Maklumat dari seluruh dunia menunjukkan bahawa diabetes berlaku pada usia muda iaitu bawah 40 tahun. Salah satu penyebab utama adalah peningkatan kelaziman obesiti. Diabetes yang tercetus ketika usia muda dikaitkan dengan penyakit yang lebih agresif dan risiko komplikasi yang lebih tinggi.

Kehadiran mesin layan diri yang dipenuhi dengan  minuman bergula di tempat awam menjadikan sukar bagi pengguna muda untuk mengawal godaan terhadap minuman tersebut.

Di masa lalu, CAP telah membuat banyak gesaan kepada pihak berkuasa agar mengharamkan penjualan minuman bergula daripada mesin layan diri memandangkan kajian menunjukkan rakyat Malaysia mengambil terlalu  banyak gula dalam diet mereka. Bagaimanapun, sehingga kini tiada tindakan diambil dan bilangan rakyat Malaysia yang menderita akibat daripada obesiti semakin meningkat.

Memandangkan negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, maka pihak berkuasa perlu mengambil tinddakan segera untuk mengharamkan penjualan minuman bergula daripada mesin layan diri kerana ia akan menyumbang kepada obesiti yang merupakan faktor risiko bagi NCD.

 

Kenyataan Akhbar, 9 Julai 2021