GREEN ACTION WEEK
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini melancarkan buku panduan bertajuk “Pengurusan Makhluk Perosak Kebun di Rumah” sempena Green Action Week (Minggu Tindakan Hijau) yang dianjurkan pada setiap tahun. Buku berwarna dengan 20 muka surat ini boleh diperolehi dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Ketika pandemik COVID-19 dan tempoh berkurung (lockdown), ramai isirumah telah memulakan usaha menanam sayuran di kebun rumah mereka. Kerajaan juga menggalakkan komuniti dan individu supaya mula menanam tanaman di kawasan perumahan dan menggalakkan kebun bandar.
Sesetengah pekebun di rumah menghadapi masalah dengan makhluk perosak. Berikutan ini CAP banyak menerima panggilan daripada orang ramai meminta nasihat mengenai kaedah penyelesaian berasaskan bukan kimia bagi pengurusan makhluk perosak. Oleh itu, CAP memutuskan untuk menghasilkan buku panduan ini sebagai sebahagian daripada wadah perkongsian komuniti kami, yang menjadi tema Green Action Week.
Buku panduan ini menyediakan beberapa pengetahuan asas mengenai makhluk perosak biasa yang terdapat di kebun kita dan peranan serangga pemangsa dalam menguruskannya. Ia juga memberikan panduan mengenai cara membuat larutan kawalan makhluk perosak yang mudah serta cara untuk menarik serangga bermanfaat ke kebun kita.
Kempen CAP mengenai penggunaan mampan melalui perkongsian dan kerjasama komuniti juga telah mewujudkan beberapa wadah perkongsian aktif termasuk rangkaian perkongsian benih dan berkebun. Di samping itu, kami juga turut menggesa supaya diharamkan racun makhluk perosak yang amat berbahaya supaya kita dan generasi masa depan tidak terdedah kepada bahan toksik ini.
Minggu lepas, CAP menyerahkan memorandum menggesa supaya diharamkan glyphosate dan racun rumpai berasaskan glyphosate, yang digunakan dengan meluas di seluruh dunia. Semua bahan kimia pertanian ini meracuni kita dan alam sekitar. Kita perlu menghentikan penggunaan racun ini dan juga menuntut bahan toksik ini tidak lagi dihasilkan dan dijual.
Banyak tanaman di dunia ini didebunga oleh serangga. Jika racun makhluk perosak terus digunakan, kita akan membunuh serangga bermanfaat dan pendebunga, dan dengan itu mengancam bekalan makanan kita.
Apa yang kita perlukan ialah jaminan makanan, keselamatan makanan dan kebolehcapaian makanan. Ini boleh dicapai dengan menanam sendiri makanan kita. Sertailah CAP dalam menghidupkan semula komuniti perkongsian pada masa lalu dengan menanam sendiri makanan kita dan mula berkongsi hasil dan pengetahuan kita untuk dunia yang lebih baik.
Nota: Green Action Week adalah kempen global untuk mempromosikan penggunaan mampan. Setiap tahun pada Oktober, pertubuhan di seluruh dunia akan mengambil tindakan bersama untuk mempromosikan suatu matlamat bersama. Tahun ini, 50 pertubuhan masyarakat sivil di 30 negara di Afrika, Asia, Eropah, Australia dan Amerika turut serta dalam kempen ini.
BUKU BOLEH DIDAPATI DI SINI: Pengurusan Makhluk Perosak di Kebun Rumah
Kenyataan Akhbar, Oktober 2020