CAP Menggesa Pengharaman Merokok dan Vape Sepenuhnya untuk Mencegah Krisis Kesihatan Awam

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menegaskan bahawa satu-satunya cara yang berkesan untuk mengawal merokok, vape dan aktiviti berkaitan dengannya adalah dengan melaksanakan pengharaman sepenuhnya terhadap produk merokok. Cecair vape yang mengandungi dadah terlarang mewujudkan penagih dadah dan menyebabkan kematian awal akibat dos berlebihan dadah, membawa kepada krisis kesihatan awam yang akan meletakkan beban yang berat kepada sistem penjagaan kesihatan negara. Usaha kawalan tembakau yang lalu menunjukkan bahawa pengawalan dengan sebahagian peraturan adalah tidak berkesan.

Contohnya, apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan amaran kesihatan bergambar (pictorial health warnings – PHW) pada 1 Januari 2009, industri tembakau dan pelobinya berulang kali cuba menangguhkan pelaksanaannya, dengan alasan peningkatan kos pengeluaran. Mereka meminta lanjutan tarikh akhir selama 15, 18, dan 24 bulan tetapi akhirnya memenuhi tarikh akhir enam bulan yang dikenakan oleh KKM.

Clearinghouse for Tobacco Control (C-Tob) Universiti Sains Malaysia (USM) telah memantau aktiviti industri sepanjang 2007 sebelum pelaksanaan PHW. Industri bertindak balas secara agresif dengan lebih 60 reka bentuk pembungkusan yang inovatif dan hadiah promosi percuma. Peruncit rokok disediakan dengan tempat pameran percuma untuk mempromosikan produk baharu. Memandangkan keupayaan mereka untuk mencipta pembungkusan baharu dengan pantas, dakwaan mereka mengenai ketidakupayaan untuk mematuhi dengan peraturan PHW tidak mempunyai kredibiliti.

Senario yang sama berlaku dengan penguatkuasaan larangan paparan produk tembakau di bawah Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang akan berkuat kuasa pada April 2025. Pihak industri berpendapat bahawa pematuhan adalah mahal, tetapi peruncit vape sudah pun terlibat dalam taktik pemasaran yang agresif. Kedai vape menampilkan bahagian hadapan kaca berketinggian penuh yang memaparkan produk dengan jelas, manakala kedai serbaneka menggunakan kotak paparan dan iklan yang menarik. Banyak promosi produk vape diletakkan di aras bawah, ini menimbulkan kebimbangan mengenai sasaran mereka terhadap kanak-kanak. Selain itu, dengan pengharaman yang akan berlaku, jualan dalam talian telah melonjak, membolehkan akses mudah kepada produk vape dengan langkah pengesahan umur yang minimum.

CAP memberi amaran bahawa vape boleh berfungsi sebagai gerbang kepada ketagihan dadah terlarang, yang memerlukan pengharaman sepenuhnya. Cecair vape yang mengandungi dadah adalah amat berbahaya, memandangkan ia sukar untuk dikesan melainkan cecair itu kelihatan atau mengeluarkan bau kimia yang kuat. Dalam kebanyakan kes, kesan menyedut bahan itu adalah halusinasi, kebas, kebimbangan dan paranoia yang menjadi satu-satunya petunjuk.

Tindakan segera kerajaan diperlukan untuk mengelakkan krisis penagihan dadah berskala besar. Senarai bahan haram yang semakin meningkat termasuk tetrahydrocannabinol (THC), fentanyl, methamphetamine, kokain, heroin, analog LSD dan halusinogen sintetik boleh dimasukkan ke dalam cecair vape. Kehadiran produk vape yang mengandungi dadah di Malaysia telah didokumenkan dengan baik. Cecair vape bercampur ganja telah berada di pasaran gelap sejak 2015, dan pada 2023, apa yang dipanggil vape “Magic Mushroom” didapati mengandungi koktel dadah sintetik dan bukannya psilocybin semula jadi.

Polis merekodkan 119 kes rampasan cecair vape yang mengandungi dadah pada 2024, meningkat daripada 32 kes pada 2023, mendedahkan pasaran haram yang semakin meningkat. Pada Februari 2025, KKM mengesahkan 65.6 peratus cecair vape yang dirampas pada 2023 dan 2024 mengandungi dadah berbahaya.

Dadah terlarang dengan mudah boleh dilarutkan ke dalam cecair vape dan dijual sebagai isian semula, seperti yang ditunjukkan oleh serbuan ke atas dua rumah dan sebuah lot kedai di Seri Kembangan pada Januari 2025. Ketersediaan ramuan seperti itu akan menyebabkan peningkatan ketagihan dadah dan kes-kes yang berpotensi terlebih dos.

CAP menggesa agar pengharaman sepenuhnya dilaksanakan terhadap semua produk merokok bagi mengekang penularan penagihan dadah haram melalui vape. Jika tindakan tegas tidak diambil sekarang, ketagihan dadah boleh mencapai tahap krisis yang tidak dapat dipulihkan. Kerajaan mestilah menyedari bahawa masalah itu melangkaui angka rampasan kerana apa yang kita lihat hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhannya.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 17 Mac 2025