Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengkaji semula kebenaran membawa masuk pekerja nelayan asing dari Thailand ke Kedah mulai minggu depan.
Keputusan ini perlu diperhalusi dengan sebaik mungkin demi kesihatan, keselamatan dan kepentingan sumber perikanan negara serta kehidupan nelayan pantai.
Mengulas laporan akhbar hari ini (Utusan Malaysia, 26 Februari 2021), CAP berpendapat adalah tidak wajar keputusan seumpama itu dibuat kerana negara ini masih belum reda dari ancaman Covid-19.
Selain bimbang wabak tersebut merebak jika pekerja asing dari Thailand datang semula bekerja di sektor ini, ancaman pencerobohan oleh bot-bot pukat tunda ke kawasan tangkapan nelayan pantai akan berlaku semula serta menjejaskan sumber perikanan dan pendapatan nelayan pantai di negeri Kedah.
Sebelum ini dilaporkan banyak berlaku pelanggaran undang-undang melibatkan Akta Perikanan 1985 dilakukan oleh mereka sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan nelayan tempatan di negeri ini.
CAP mencadangkan supaya pihak kerajaan mengawal sumber perikanan di kawasan pantai bagi menambahkan hasil tangkapan nelayan tempatan dan keperluan pengguna di negeri ini.
CAP turut menggesa kerajaan mengharamkan segera eksport semua jenis hidupan laut demi mengekalkan keperluan itu di pasaran. CAP juga mempersoalkan di mana perginya hasil ternakan akuakultur yang bermatlamat bagi menampung keperluan makanan ini ketika berlaku kekurangan?
Kenyataan Media, 1 Mar 2021