CAP: Pelitup Muka Toksik

 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa memastikan pelitup muka dan peralatan perlindungan lain yang dijual di pasaran tidak mengandungi graphene dan nanopartikel berpotensi toksik lain memandangkan ia berbahaya kepada kesihatan.

Gesaan ini dibuat berikutan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Kanada yang melarang penggunaan pelitup muka  yang mengandungi graphene kerana kemungkinan berisiko penyedutan partikel graphene.

Graphene adalah novel nanomaterial yang merangkumi zarah zarah halus yang   mempunyai sifat antivirus dan antibakteria.

Pelitup muka yang mengandungi graphene boleh dikenal pasti dengan lapisan warna gelap pada bahagian dalam pelitup muka tersebut. Ia mudah dikenal pasti sebab ia  berwarna kelabu. Menurut kajian pelitup muka dilapisi graphene berpotensi menyebabkan keracunan paru-paru pada haiwan.

Meskipun potensi risiko kesihatan, berjuta pelitup muka yang mengandungi nanographene dihasilkan setiap hari dan dijual di seluruh dunia.

Graphene adalah satu bentuk karbon yang terdiri daripada serpihan nipis nanoskopik daripada atom karbon yang tersusun secara heksagon. Apabila bahan seperti karbon atau perak dipecahkan kepada atom – komponen terkecilnya akan mula berperilaku dalam cara yang tidak biasa, yang akan meningkatkan keracunannya.

Perubahan dalam perilaku ini adalah apa yang menjadikan nanographene berkesan untuk membunuh bakteria, virus dan mikrob lain. Apabila digunakan dalam pelitup muka, lapisan nanographene berfungsi untuk melindungi pengguna daripada partikel dalam udara, dengan menghirisnya apabila disedut melalui lapisan graphene. Bagaimanapun, apabila pelitup muka itu lusuh, serpihan nanographene mengelupas dan boleh disedut ke dalam paru-paru. Pengguna pelitup muka yang mengandungi graphene itu mengadu mengalami kesukaran bernafas, kerengsaan kulit dan merasa seperti bernafas dalam bulu kucing.

Memandangkan kepada perkara ini, Center for International Environmental Law (CIEL) bersama dengan beberapa NGO antarabangsa telah menulis surat kepada pihak berkuasa di Eropah meminta mereka  mengeluarkan pelitup muka yang mengandungi nanopartikel daripada pasaran dan mengharamkan penjualan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang mengandungi bahan nanoform yang  tidak dibenarkan dalam pasaran Kesatuan Eropah (EU).

Memandangkan memakai pelitup muka adalah barisan pertahanan kritikal dalam melawan COVID-19 dan penyakit bawaan udara lain, kehadiran nanopartikel dalam pelitup muka tidak seharusnya menjadi risiko kesihatan tambahan kepada pengguna.

Memandangkan  kepada situasi masa kini di mana pemakaian pelitup muka telah menjadi keperluan, CAP menggesa pihak berkuasa supaya:

  • Mengharamkan penjualan pelitup mula yang mengandungi nanopartikel graphene atau bahan lain.
  • Menetapkan piawaian bagi pelitup muka.

Sementara itu, pengguna perlu mengambil iktibar daripada perkara ini dan kekal selamat dengan memilih pelitup muka yang di perbuat dari  kapas untuk mencegah penyebaran jangkitan.

 

Kenyataan Akhbar, 17 Mei 2021