Dedah laporan siasatan pencemaran di Pulau Jerejak — CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak kerajaan yang terlibat dengan siasatan mengenai kejadian pembuangan sampah di Pulau Jerejak, Pulau Pinang segera mendedahkan hasil siasatan dan tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang terlibat.

Gesaan ini dibuat memandangkan masalah yang berlaku itu adalah serius dan memberi kesan buruk yang berpanjangan ke atas alam sekitar, hidupan marin dan kehidupan nelayan tempatan.

Masalah yang sudah lama berlaku itu terbongkar pada awal bulan ini namun hingga sekarang puncanya dan tindakan undang-undang yang diambil oleh pihak berkenaan ke atas mereka yang terlibat masih belum diketahui umum.

Keadaan yang dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu tidak harus dipandang remeh dan tindakan undang-undang yang tegas dan hukuman setimpal perlu dikenakan ke atas pihak terbabit.

Tinjauan CAP di Pantai Jerejak mendapati nelayan-nelayan di sini merasa kesal dan bimbang dengan kejadian tersebut kerana ia boleh mengancam hidupan laut dan mata pencarian mereka dengan lebih serius lagi jika dibiarkan berlarutan.

Oleh yang demikian kerja-kerja pembersihan bukan saja perlu dilakukan di darat tetapi juga di dasar laut sekitar kawasan projek ternakan ikan dalam sangkar di sini.

CAP percaya jika kerja-kerja tersebut tidak dilakukan secara menyeluruh dan berkesan bahan buangan ini akan hanyut dibawa arus serta mencemarkan kawasan lain di mana ia akan tersangkut pada pukat nelayan yang menjalankan aktiviti tangkapan di perairan negeri ini.

Sebelum ini CAP telah menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut menyiasat masalah ini dan mengambil tindakan ke atas kejadian tersebut.

CAP amat bimbang kerana ancaman pencemaran sisa buangan ini bukan saja berlaku di pulau berkenaan tetapi juga di kawasan laut berhampiran.

Sisa buangan ini juga jika dibiarkan akan mengancam tempat pembiakan ikan dan hidupan kerang yang menjadi sumber pendapatan golongan nelayan.

Memandangkan masalah ini melibatkan kehidupan dan kepentingan rakyat maka adalah perlu pihak kerajaan mengumumkan hasil siasatan serta tindakan yang diambil dengan segera.

 

Kenyataan Akhbar / Media, 18 Mei 2021